Cadangan kerajaan tidak adil untuk Adib dan keluarga, kata Zahid


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidiberkata cadangan polis adakan inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim sekali lagi hanya buang masa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2020.

CADANGAN polis untuk mengadakan sekali lagi inkues berkenaan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim hanya membuang masa dan tidak adil kepada ahli keluarganya, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Cadangan polis kepada peguam negara untuk mendakwa 12 suspek kerana menyertai perhimpunan haram juga tidak setimpal dengan jenayah yang dilakukan, katanya.

“Cadangan untuk mengadakan semula Inquest, walaupun dibenarkan oleh undang-undang, jelas membuang masa dan melengahkan lagi keadilan terhadap arwah Adib dan ahli keluarganya.

“Apatah lagi kesalahan yang dilakukan adalah suatu jenayah yang amat serius terhadap seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas,” kata Zahid dalam satu kenyataan hari ini.

Zahid mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin di Dewan Rakyat semalam ketika menjelaskan perkembangan siasatan polis terhadap kematian anggota bomba itu.

Selain inkues semula, siasatan polis mencadangkan pendakwaan ke atas 12 suspek mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu jenayah terlibat dalam perhimpunan haram.

Sabit kesalahan mengikut peruntukan itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau keduanya sekali.

Menurut Hamzah, dua cadangan itu terkandung dalam laporan kertas siasatan polis kepada Pejabat Peguam Negara yang dikemukakan pada 23 Julai lalu.

Zahid yang juga bekas menteri dalam negeri, cadangan pihak polis itu seolah-olah menafikan keputusan inkues sebelum ini, yang mendapati kematian Adib melibatkan unsur jenayah.

Mahkamah Koroner yang bersidang di Shah Alam pada 27 September tahun lalu memutuskan bahawa Adib meninggal dunia bukan kerana kemalangan, sebaliknya akibat perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu yang tak dikenali.

Adib, 24, anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan dekat Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 November, 2018 dan meninggal dunia pada 17 Disember berikutnya di Institut Jantung Negara.

Keluarganya dilapor bercadang untuk menyaman pihak polis dan menuntut pampasan kerana kegagalan pihak berkuasa mengawal rusuhan sehingga membawa kepada kematian. – 5 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen