Siapa pimpin Umno Sabah, Bung Moktar atau Musa Aman?


Bernard Saw

Secara rasmi, Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin ialah pengerusi Umno Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2020.

UMNO Sabah perlu jelas berkenaan siapa yang akan mengetuai parti itu pada pilihan raya negeri yang akan diadakan pada hujung bulan depan, kata penganalisisi.

Secara rasminya, Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin ialah pengerusi Umno Sabah, tetapi bekas ketua menteri Musa Aman, satu-satunya Adun Umno di negeri itu, baru-baru ini mengetuai cubaan merampas kerajaan negeri pimpinan Warisan itu dengan mendakwa mendapat sokongan majoriti nipis daripada adun.

Keadaan tidak jelas siapa yang meneraju Umno  Sabah mungkin memberi masalah kepada Bersatu Sabah, yang mahu bertanding sekurang-kurangnya 45 daripada 73 kerusi.

Penyelidik politik Dr Lee Kuok Tiung berkata beliau menjangkakan Umno Sabah akan baik hati dalam rundingan pengagihan kerusi dengan Bersatu, kerana ia akan mahu memastikan perlawanan satu lawan satu dengan Pakatan Harapan/Warisan.

“Ia akan cuba untuk memastikan hanya satu lawan satu dan ia akan dapat menyusun perkara itu menerusi rundingan,” kata pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu.

Sebagai sebahagian daripada persiapan mental untuk penyokong, adalah normal bagi pemimpin politik daripada parti berbeza untuk mengisytiharkan angka besar dan aspirasi berkaitan jumlah kerusi diingini, kata Lee, tetapi akhirnya pemimpin perlu berbincang dan berunding.

Bagaimanapun, Bung Moktar lebih mesra dalam reaksinya terhadap kenyataan ketua Bersatu Sabah Hajiji Mohd Noor bahawa Bersatu mungkin bertanding di 45 kerusi.

Bung Mokhtar sebelum ini berkata perkara itu perlu dibincangkan, dan mengulangi sekali lagi rancangan Umno Sabah untuk mempertahankan 32 kerusi ditandinginya pada pilihan raya lalu, selain 13 kerusi baru yang akan ditambah kali ini.

Dewan undangan negeri (DUN) Sabah menambah bilangan kerusi daripada 60 kepada 73 menerusi pindaan perlembagaan dan mendapat kelulusan Parlimen tahun lalu.

Lima lagi Adun boleh dilantik oleh tuan yang dipertua negeri, menjadi sidang DUN kepada 73 kerusi selepas pilihan raya.

Pemimpin Umno di semenanjung, seperti naib presiden Mohamed Khaled Nordin dan ketua penerangannya, Shahril Hamdan mengkritik kenyataan Hajiji berkenaan bertanding di 45 kerusi.

Bekas ketua menteri Musa Aman lakukan cubaan rampas kerajaan negeri baru-baru ini dengan mendakwa dapat sokongan majoriti nipis daripada wakil rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2020.

Hakikatnya ialah ramai Adun Bersatu Sabah pada asalnya dari Umno dan menang kerusi mereka atas tiket Umno sebelum keluar parti untuk menyertai Bersatu pada 2018, ketika PH menang dan menawan Putrajaya.

Kelancaran rundingan agihan kerusi antara Bersatu dan Umno Sabah akan bergantung kepada siapa yang mengetuai rundingan bagi pihak Umno, kata seorang lagi penganalisis politik, Dr Oh Ei Sun.

Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura itu percaya Bung Moktar akan lebih mudah untuk rundingan dengan Bersatu, sementara Musa yang lebih berpengalaman akan membuat lebih banyak tuntutan.

Secara dalaman, Umno Sabah juga perlu jelas tentang siapa akan mengetuai parti itu pada pilihan raya akan datang, kata Oh.

Beliau berkata Musa nampak dalam kedudukan lebih kuat walaupun tanpa Umno Sabah, kerana sokongan daripada gelombang Adun yang keluar PH/Warisan baru-baru ini, adalah untuknya mengetuai kerajaan negeri, berbanding untuk Umno Sabah atau Perikatan Nasional.

Lee bersetuju, berkata wakil rakyat Bersatu di Sabah adalah penyokong Musa pada masa ini.

Tambahan lagi, budaya politik Sabah menekankan peranan individu yang kuat, politik penaung dan kekuatan peribadi, berbanding gabungan dan hubungan parti.

Orang kuat politik Sabah cenderung mendapat sokongan dengan bergantung pada reputasi mereka, kata Lee.

“Mereka bergantung pada imej peribadi dan pengaruh mereka.”

Walaupun itu mungkin cara politik dimainkan di Sabah, Lee berkata pengundi mungkin berfikir cara lain, terutama kerana ramai yang bosan dengan sikap lompat parti wakil rakyat.

Lee berkata bukan mudah untuk individu lompat parti menyertai pilihan raya sekali lagi, tetapi susunan taktikal boleh dibuat dalam kempen untuk mendapatkan sentimen pengundi.

Berkenaan punca ahli politik di Sabah lompat parti, Lee berkata itu disebabkan sesetengah wakil rakyat percaya negeri itu tidak boleh ditadbir oleh parti pembangkang persekutuan.

“Mereka masih cenderung bekerjasama dengan kerajaan pusat.”

Cubaan Musa baru-baru ini untuk menubuhkan kerajaan negeri bersama wakil rakyat yang lompat parti terbelit dengan tuduhan tentang politik wang dan dorongan, tetapi Lee berkata dakwaan seperti itu mungkin hanya memberi kesan terhadap persaingan dalaman dan rasa tidak puas hati, atau propaganda untuk menjengkelkan pengundi.

Cubaan Musa terbantut apabila Presiden Warisan yang juga Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal bertindak membubarkan sidang DUN.

DUN dibubarkan pada 30 Julai, dan pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. – 5 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen