Ahmad Bashah jaga rakyat, Mukhriz asyik 'selfie', kata Umno Kedah


Diyana Ibrahim

Pewakilan Umno Bahagian Merbok Saiful Hazizy Zainol Abidin juga menggesa perasaan hormat kepada Dr Mahathir Mohamad dihapuskan untuk kepentingan parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Disember, 2017.

MUKHRIZ Mahathir dan bapanya, Dr Mahathir Mohamad diselar perwakilan Umno Kedah yang meminta akar umbi parti untuk menghapuskan perasaan hormat kepada mereka.

Perwakilan Umno Bahagian Merbok Saiful Hazizy Zainol Abidin mendakwa ia merupakan suara hati rakyat Kedah yang mahukan kepentingan parti diutamakan berbanding individu tertentu.

“Cukup dengan nostalgia lama, jika ia melukakan, tiada lebih besar daripada parti,” kata pewakilan itu semasa membahaskan ucapan dasar presiden di Persidangan Perhimpunan Agung Umno hari ini.

Beliau juga mempersoalkan sumbangan Mukhriz sepanjang menjadi menteri besar, memerlinya hanya pandai selfie tetapi tidak menjaga kebajikan rakyat.

“Pemimpin Umno yang bertemu dengan rakyat Kedah di peringkat akar umbi pasti mendengar pengakuan mereka bahawa mereka tidak nampak sumbangan dan kesungguhan menteri besar sebelum ini.

“Mereka ada nampaklah yang menteri besar sebelum ini selalu selfie di sana sini, tetapi mereka hakikatnya tidak nampak apa wawasan besar kerajaan untuk rakyat, mereka juga tak nampak mengapa (Dr) Mahathir itu perlu menjadi kepentingan lebih besar dari rakyat,” katanya

Katanya situasi tersebut berubah ketika Kedah diterajui Menteri Besar Ahmad Bashah disebabkan pentadbirannya lebih fokus dan memberi banyak sumbangan kepada rakyat.

“Kita tak pandai nak selfie selfie ini, pada kita rakyatlah yang wajar kita berikan manfaat, sama ada apa yang kita buat itu tepat dan betul dengan kehendak rakyat, inilah cara Kedah.

“Orang lain tak nampak macam berkesan tetapi kalau turun ke kampung kampung, Insya Allah cara Kedah ini dapat difahami dan dihayati oleh rakyat,” katanya.

Peralihan kuasa di Kedah berlaku apabila Ahmad Bashah membuat undi tidak percaya kepada Mukhriz.

Ia susulan kelantangan Mukhriz mengkritik kerajaan Umno/Barisan Nasional dan Perdana Menteri Najib Razak yang dikatakan senada dengan Dr Mahathir terutamanya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – 7 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen