Bayaran balik PTPTN tangguh sampai Disember, umum menteri


Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad berkata ia selaras pengumuman perdana menteri mengenai lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2020.

PEMBAYARAN balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditangguhkan untuk tiga bulan lagi sehingga 31 Disember, umum Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad.

Penangguhan ini diberikan kepada semua peminjam, katanya, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 29 Julai lalu mengenai lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar.

“Selaras dengan pengumuman tersebut, kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan tempoh moratorium kepada peminjam PTPTN sehingga Disember 2020,” katanya semasa menggulung perbahasan usul titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas Noraini, penangguhan itu melibatkan anggaran jumlah bayaran balik sebanyak RM375 juta, iaitu tambahan kepada anggaran RM750 juta daripada penangguhan yang diberikan antara April dan September 2020.

“Ini bermakna jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik adalah sebanyak RM1.125 bilion,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan media, Noraini menjelaskan lanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman untuk tiga bulan ini berlaku secara automatik tanpa peminjam perlu membuat permohonan.

“Sekiranya terdapat peminjam yang ingin meneruskan bayaran balik pinjaman, mereka boleh berbuat demikian melalui saluran bayaran balik secara dalam talian yang telah disediakan,” tambahnya.

Sementara itu, pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan menyambut baik pengumuman penangguhan pembayaran balik itu.

“Saya bersyukur kerana cadangan yang saya angkat kepada YAB Perdana Menteri untuk melanjutkan moratorium bayaran balik pinjaman PTPTN telah diluluskan.

“Moratorium ini penting kerana ramai peminjam PTPTN yang masih terkesan oleh Covid-19. Kerana itulah kita bawa cadangan untuk moratoriun dilanjutkan,” katanya.

Pada 19 Mac, PTPTN menangguhkan bayaran balik pinjaman kepada semua peminjam untuk tempoh tiga bulan antara April hingga Jun. Tempoh itu kemudian diumum oleh perdana menteri dilanjutkan untuk tiga bulan lagi sehingga September. – 4 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen