Rina jelaskan alasan ahli Parlimen pembangkang tidak terima bakul makanan PKP


Chan Kok Leong

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun menolak tuduhan yang ahli Parlimen pembangkang tidak diendahkan semasa PKP ketika penyerahan bantuan bakul makanan kepada golongan memerlukan di seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2020.

BANTUAN makanan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak sampai kepada beberapa ahli Parlimen pembangkang kerana terdapat pemimpin masyarakat lain di kawasan mereka, kata menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal kebajikan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun menolak tuduhan yang ahli Parlimen pembangkang tidak diendahkan semasa PKP ketika penyerahan bantuan bakul makanan kepada golongan memerlukan di seluruh negara.

Ahli Parlimen pembangkang bukan satu-satunya pemimpin tempatan di kawasan itu, kata Rina di Dewan Rakyat hari ini, bagi kekesalan beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan.

“Ketika kami memutuskan untuk mengagihkan bakul makanan sepanjang tempoh PKP, kami menyerahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat di daerah itu untuk memutuskan cara mengagihkannya.

“Kami perlu memikirkan bagaimana dapat mengagihkannya dengan segera. Ahli Parlimen bukan satu-satunya pemimpin tempatan yang ada,” kata Rina semasa ucapan penggulungannya bagi perbahasan titah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Tindakan Rina dipersoalkan oleh beberapa ahli Parlimen pembangkang seperti Hannah Yeoh (Segambut-PH), Kasthurirani Patto (Batu Kawan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa-PH) dan lain-lain mengenai bagaimana pemimpin pembangkang tidak termasuk dalam senarai pengagihan bakul makanan untuk kawasan berpendapatan rendah selepas PKP berkuat kuasa pada 18 Mac.

Yeoh membalas dengan memberitahu Rina yang ahli Parlimen adalah pemimpin tempatan “di lapangan”.

“Kami kenal mereka yang memerlukan di kawasan kami kerana mereka datang kepada kami.

“Tetapi kerajan melantik penyelaras (untuk mengagihkan hamper) daripada MCA dan Bersatu di Segambut.”

Yeoh, yang menulis di Twitter mengenai masalah itu semasa PKP, juga berkata beliau pernah bertanya kepada Rina mengenai perkara itu di media sosial tetapi tidak menerima balasan.

“Saya juga mengajukan pertanyaan di Parlimen mengenai siapa koordinator ini tetapi belum mendapat balasan. Oleh itu, saya harap kerajaan akan memasukkan pembangkang dan tidak hanya membataskan amalan itu kepada orang parti kerajaan sahaja,” kata Yeoh.

Yeoh menambah tidak adil bagi Rina untuk menyerahkan tugas itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat tempatan mendapat arahan dari Putrajaya dan menteri. Jadi, jangan salahkan mereka.” – 4 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen