DUA badan pendidikan meminta Mahkamah Persekutuan memutuskan kedudukan sebenar Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di mahkamah, yang mengikut undang-undang mesti dipakai dalam semua prosiding di mahkamah.
Dua badan itu ialah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM).
Presiden GPMS Mohd Alif Nas Md Noor berkata permohonan itu dibuat selepas mahkamah mengarahkan peguam mereka dalam satu tindakan saman lain supaya menterjemahkan kertas kausa yang difailkan dalam Bahasa Melayu ke dalam Bahasa Inggeris, untuk kegunaan mahkamah.
“Tiada sebab mengapa kertas-kertas kausa perlu diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau merujuk kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mengikut Perlembagaan Persekutuan, serta Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang memperuntukkan segala prosiding di semua peringkat mahkamah hendaklah dijalankan dalam bahasa kebangsaan.
Kertas kausa yang diminta oleh mahkamah untuk diterjemahkan ialah saman pemula oleh GPMS dan MAPPIM terhadap kerajaan bagi mencabar kedudukan sekolah jenis kebangsaan dalam sistem pendidikan Malaysia, katanya.
Menurut Mohd Alif, jaminan undang-undang mengenai kedudukan bahasa kebangsaan tidak ada makna sekiranya mahkamah dan agensi kerajaan tidak komited mematuhinya dengan ketat dan tegas.
Permohonan rujukan GPMS dan MAPPIM ini menamakan Menteri Pendidikan dan Kementerian Pendidikan sebagai defendan.
Menurut Alif, permohonan rujukan mereka kepada Mahkamah Persekutuan ini ditetapkan untuk pengurusan kes pada 24 Ogos. – 4 Ogos, 2020.
Komen