Polis tahan tokan dadah di Kulim 


POLIS menahan seorang lelaki berumur 30 tahun dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Kulim melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM11,960.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Azhar Hashim berkata suspek yang tidak bekerja itu ditahan pada 6.50 petang semalam di tepi jalan Kampung Sentosa dalam operasi pencegahan dadah di sekitar kawasan Padang Serai.

“Suspek yang sedang menunggang motosikal ditahan dan hasil pemeriksaan terhadap beg sandang dibawanya menemukan dadah jenis syabu, heroin dan 50 biji pil erimin 5 yang kesemuanya bernilai RM11,960,” katanya dalam kenyataan di Kulim, hari ini.

Azhar berkata suspek yang mempunyai enam rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan itu dipercayai mula terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penjualan dadah sejak 2015.

“Suspek yang positif dadah jenis syabu itu direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan,” katanya. – Bernama, 4 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen