Dialog jalan penyelesaian polemik tulisan Jawi di Pahang 


AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Tras, Chow Yu Hui (DAP), memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar ketetapan kerajaan Pahang mewajibkan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu. 

Tindakan Adun Tras ini mengundang reaksi dingin oleh rakyat, termasuk pemimpin DAP sendiri.  

Keputusan ini seperti memberi “peluru” percuma kepada lawan untuk menggelar DAP sebagai anti-tulisan Jawi dan memberi imej buruk kepada DAP sebagai sebuah parti yang terkenal dengan prinsip mengangkat keharmonian rakyat. 

Dasar mewajibkan tulisan Jawi pada papan tanda premis atau kedai di Pahang dikuatkuasakan oleh exco negeri pada 1 Mac 2018. 

Premis peniagaan, persatuan dan NGO perlu memaparkan tulisan Jawi berkutakuasa pada 1 Januari 2020.

Jika gagal, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengeluarkan kompaun sebanyak RM250.  

Chow Yu Hui pernah membawa isu ini dalam sidang DUN Pahang pada 20 November 2019. Tetapi, ia telah mengundang pertikaman lidah dengan Adun Barisan Nasional (BN) dan PAS tanpa sebarang penyelesaian. 

Bagi Adun Tras dan Jawatnkuasa DAP Pahang, kerajaan negeri tidak harus memaksa pemilik perniagaan atau mana-mana pihak untuk menyertakan tulisan jawi di papan tanda.

Dasar ini juga akan menghalang hak kebebasan kumpulan ini untuk membuat pilihan. 

Sebelum Adun Tras membuat semakan kehakiman, terdapat tiga orang peniaga memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuantan pada 13 Mac 2020, terhadap Majlis Perbandaran Kuantan dan kerajaan Pahang bagi membatalkan dasar tulisan Jawi pada papan tanda premis.

Ketiga-tiga peniaga ini diwakili peguam Tetuan Gunalesen & Associates. 

Mahkamah Tinggi Kuantan membenarkan ketiga-tiga peniaga tersebut mencabar keputusan pihak berkuasa dan mahkamah menetapkan penghujahan substentif didengar pada 29 April 2020.  

Amat jelas semakan kehakiman bukanlah satu perkara baharu. Cuma, semakan kehakiman yang dibawa Adun Tras dipenuhi dengan sentimen emosi tanpa penerangan fakta yang jelas. 

Jika benar ia satu masalah yang besar, berapakah jumlah keseluruhan peniaga yang mengadu tentang perkara ini? 

Berapa banyak sesi dialog yang telah dibuat untuk menyemak kegelisahan peniaga yang berhadapan masalah ini? Semua ini masih belum diterangkan oleh pihak Adun Tras dan Jawatankuasa DAP Pahang.  

Menurut kerajaan Pahang pula, sehingga 31 Disember 2019, terdapat hampir 70% peniaga di seluruh Pahang mematuhi dasar tulisan Jawi ini dan 30% masih ingkar.

Ironinya, peniaga yang ingkar ini kebanyakkannya terdiri daripada peniaga Melayu.  

Meskipun jumlah mereka yang ingkar agak sedikit, ia masih menggambarkan kerajaan Pahang gagal untuk berunding dengan pemegang taruh dalam pelaksanaan dasar ini sehingga peniaga sanggup membuat semakan kehakiman di mahkamah.  

Oleh itu, agak tidak rasional untuk mendakwa orang bukan Melayu menentang kuat dasar ini memandangkan kerajaan negeri mendapati peniaga Melayu juga tidak peka dalam melaksanakan dasar tulisan Jawi. 

Bukankah dapatan dan fakta ini menunjukkan kepada kita bahawa ini adalah permasalahn dasar kerajaan? 

Jadi, apakah signifkannya kedua-dua belah pihak saling serang-menyerang antara satu dan yang lain?

Dialog cara terbaik 

Dialog ialah sebuah pendekatan yang boleh membawa pihak berbeza pendapat untuk pergi ke jalan tengah, berbincang dan menyelesiakan masalah secara damai.

Perbincangan berfakta akan merungkai permasalahan sebenar, sama ada isu itu hanyalah propaganda politik musuh atau benar-benar dihadapi oleh akar umbi. 

Dalam isu jawi di Pahang, dialog ialah jalan yang terbaik. Amat wajar sekiranya DAP Pahang menghantar delegasi untuk berdialog dengan kerajaan negeri dalam membincangkan dasar tulisan Jawi ini. 

Sekiranya dialog ini berjaya, maka ia akan membantu meperkemaskan  imej politik DAP yang selama ini menjadi momokan musuh sebagai parti yang terlalu keras dalam isu Jawi. 

Ia juga melancarkan kerajaan BN Pahang untuk melaksanakan dasar tulisan jawi ini dengan lebih meluas dengan sokongan rakyat dan pembangkang. 

Jika kedua-dua pihak menggunakan isu Jawi untuk kepentingan politik, maka ia satu tindakan tidak bertanggungjawab.  

Walau apa pun perbezaan yang berlaku dalam sesi dialog itu, apa yang penting dalam situasi ini ialah komitmen DAP Pahang dan kerajaan BN Pahang, membuat keputusan yang terbaik buat rakyat, bukan memainkan sentimen kaum bagi kepentingan politik yang merugikan semua pihak. 

Persoalannya, adakah kedua-dua pihak ini mampu melakukannya?  – 4 Ogos, 2020.

* Fakhrurrazi Rashid adalah pembaca The Malaysian Insight. 




 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen