Perwakilan Umno sokong Jamal, minta teruskan kerja gila


Diyana Ibrahim

Seorang perwakilan Umno mahu Ketua Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos meneruskan perjuangan gilanya untuk memastikan Selangor berjaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Disember, 2017.

SEORANG pewakilan Umno hari ini menyokong dan meminta Ketua Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos meneruskan protes gimik  menentang pembangkang terutama pentadbiran Selangor.

Ketua Bahagian Umno Permatang Pauh Mohd Zaidi Said berkata meskipun aksi protes Jamal tidak semestinya melambangkan sikap seorang ketua bahagian Umno, tetapi itulah cara perjuangan Jamal.

“Kadang-kadang kalau apa yang saya cakap ini terbabas, itu maknanya daripada saya sendiri, bukan sebagai ketua Umno Permatang Pauh. Sebab itu yang ditunjukkan oleh sahabat saya Jamal Yunos.

“Dia boleh buat macam-macam, dia pergi pejabat SUK, dia boleh pakai kain tuala dengan berus gigi di telinga… bayangkan kami buat begitu di Pulau Pinang, mahu lari Lim Guan Eng, tapi kita tak buat macam itu, biarlah Jamal buat seorang.

“Dan saya mahu Jamal teruskan perjuangan gila dia itu untuk memastikan Selangor berjaya,” katanya dalam perbahasan ucapan dasar presiden di Persidangan Perhimpunan Agung hari ini.

Semalam, Jamal mencetuskan kontroversi sekali lagi apabila membakar patung Zaid Ibrahim di luar perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Tindakan Jamal itu sebagai protes dan amaran kepada pemimpin DAP itu yang didakwa biadap terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sebelum ini beliau banyak melakukan gimik protes terhadap pentadbiran Selangor terutamanya Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

Zaidi juga membidas pembangkang yang dikatakan bersikap berat sebelah. 

Katanya, pembangkang hanya pandai menuduh tindakan gimik protes Jamal mewakili parti namun memberi alasan sebaliknya apabila berlaku kepada mereka.

“Bila kena pada pembangkang mereka kata itu tindakan individu bukan mewakili parti, tapi bila kena pada pemimpin Umno tersalah cakap, ini tindakan parti bukan individu.”  – 7 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen