Sarawak kurang 30,000 pekerja ladang, kata timbalan ketua menteri


Desmond Davidson

Sektor perladangan Sarawak terpaksa menanggung kerugian sekitar RM1 bilion setahun kerana kekurangan 30,000 pekerja, kata Timbalan Ketua Menteri James Masing hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2017.

DASAR mengutamakan pengambilan pekerja tempatan yang diamalkan di Sarawak untuk sektor perladangan kelapa sawitnya telah gagal dan sektor itu kini terpaksa menanggung kerugian sekitar RM1 bilion setahun kerana kekurangan 30,000 pekerja, kata Timbalan Ketua Menteri James Masing hari ini.

“Orang tempatan kita tak berminat (bekerja dalam perladangan). Kita cuba galakkan mereka untuk datang dan bekerja tetapi mereka enggan buat kerja 3D,” katanya merujuk kepada terma umum kerja yang kotor, merbahaya dan sukar.

“Perladangan memerlukan 30,000 pekerja lagi, terutamanya penuai. Kekurangan 30,000 orang itu menyebabkan kerugian RM1 bilion setiap tahun kerana ladang tak cukup pekerja untuk tuai buah,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Abang Johari Openg minggu lepas yang Sarawak mungkin terpaksa mengambil kembali pekerja asing bagi memenuhi kekurangan itu.

Majoriti pekerja asing di ladang kelapa sawit negeri itu adalah dari Indonesia. Tetapi, Masing mengatakan yang wujud kesukaran pada masa kini untuk mendapatkan pekerja Indonesia kerana negara itu juga terlibat aktif sektor minyak kelapa sawit.

“Kita tidak boleh selamanya bergantung kepada Indonesia kerana jika kita terlalu bergantung kepada pekerja Indonesia dan terus mengambil mereka, akhirnya kita yang akan rugi.”

Katanya Sarawak kini berusaha mencari pekerja asing dari Myanmar.

Sarawak sebelum ini pernah bercadang membawa 12,000 pekerja dari Bangladesh untuk memenuhi kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan tetapi berdepan kritikan hebat.

Antara langkah yang diambil Sarawak untuk pengambilan pekerja asing adalah syarikat perladangan perlu mengiklankan kerja kosong tersebut dan mengutamakan pekerja tempatan berbanding tenaga kerja asing.

Syarat lain yang turut dikenakan adalah syarikat tidak boleh membenarkan pekerja asing menyewa rumah di bandar atau perkampungan berhampiran ladang.

Masing berkata usaha itu adalah penyelesaian jangka panjang kepada masalah jentera dan sebilangan syarikat seperti Ta Ann sudah mula mengkaji penggunaan jentera penuaian.

“Ini mungkin ambil masa, jadi sementara itu kami akan bawa pekerja asing,” katanya. – 7 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen