Hadi perlu pilih sokong Muafakat atau Perikatan, kata Salahuddin


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata PAS, Umno dan Bersatu akan putuskan sama ada untuk bertanding dua penjuru.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2020.

PAS perlu putuskan sama ada menyokong Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional, kata Salahuddin Ayub. 

“Apa yang PAS mahu? Ia mahu Muafakat atau Perikatan? PAS perlu nyatakan pendirian mereka dengan jelas,” kata ahli Parlimen Pulai di Parlimen hari ini.

Timbalan presiden Amanah itu mengulas mengenai artikel sesi wawancara dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang disiarkan Utusan hari ini.

Hadi memberitahu akhbar itu bahawa Muafakat boleh menang dengan majoriti mudah pilihan raya umum ke-15  dengan syarat ianya pertandingan satu lawan satu dengan pembangkang.

“Sekiranya gabungan ini bertanding dua penjuru, besar lagi lah kita punya kemenangan. Apa yang penting ialah dua penjuru. Ini mesti kita tegaskan,” beliau dipetik sebagai berkata.

Beliau turut mengingatkan Umno agar tidak khianati Muafakat selepas pilihan raya.

“Sama ada PAS atau Umno yang mendapat kerusi lebih besar, “masing-masing jangan khianat. Bersatu pun tak boleh ditinggalkan,” kata Hadi.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata isu peruntukan kerusi antara tiga parti itu juga perlu diselesaikan di peringkat pimpinan dan bukan akar umbi.

Mengulas mengenai kenyataan itu, Salahuddin berkata PAS, Umno dan Bersatu akan putuskan sama ada untuk bertanding dua penjuru.

“Itu tanggungjawab mereka tetapi nampaknya akan berlaku pertandingan banyak penjuru di mana-mana,” kata bekas pemimpin PAS itu.

Minggu lalu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu tidak akan menyertai Perikatan (pada PRU15) walaupun menyokong kerajaan itu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Umno hanya akan memfokuskan pada Muafakat dan tidak akan sertai Perikatan.

Umno dan PAS membentuk Muafakat Nasional pada 2019 untuk memenangi undi Melayu selepas kekalahan Barisan Nasional pada 2018. – 3 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen