Pengurup wang terima tempias Covid-19


Ravin Palanisamy

Perniagaan yang sangat bergantung kepada industri pelancongan itu kini terjejas teruk dan pendapatan susut sehingga 90% ekoran pelaksanaan PKP. – Gambar EPA, 3 Ogos, 2020.

INDUSTRI pengurupan wang kini bergantung kepada khidmat pengiriman, susulan tiada pelancong asing dan kurangnya rakyat Malaysia membuat perjalanan ke luar negara akibat pandemik Covid-19, kata pengendali.

Perniagaan yang sangat bergantung kepada industri pelancongan itu kini terjejas teruk dan pendapatan susut sehingga 90% ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, seperti yang dialami oleh pemilik  Ex-Trade Money Changer Sdn Bhd Tajuddin Abdul Rahim.

Tajuddin berkata walaupun pengurup wang dibenarkan menyambung semula operasi sejak 4 Mei, perniagaan masih perlahan.

“Memang terjejas teruk sebab Covid-19. Apabila tiada pelancong keluar masuk, 90% pendapatan saya merosot.

“Hanya bergantung pada pengiriman wang (oleh pekerja asing ke negara asal) sekarang, tapi itu pun tak banyak mana,” katanya, sambil menambah khidmat kiriman wang hanya menyumbang tidak sampai 10% daripada pendapatan.

Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) dibatalkan susulan penularan Covid-19, untuk memberi keutamaan kepada kesihatan dan keselamatan rakyat.

Kerajaan sebaliknya memberi tumpuan kepada pelancongan domestik sepanjang tahun ini.

Bagi Pengarah Urusan Kalifullah Enterprise Abdul Razique, beliau sebelum ini teruja dengan kempen TMM 2020 dan mengharapkan ia akan membawa keuntungan besar kepada perniagaannya.

Katanya, walaupun pendapatan menyusut sejak Januari selepas berita mengenai Covid-19 dikesan di China mula tersebar, namun beliau tidak menyangka virus itu turut menjejaskan ekonomi di seluruh dunia.

“Perniagaan lembap pada Januari, tetapi sekarang ini dikira huru-hara,” kata Razique, 31, yang berniaga di Pasar Seni di KUala Lumpur.

Razique berkata beliau terpaksa menggunakan wang simpanan untuk menanggung kos overhed (overhead cost) perniagaannya.

“Nak dapat untung RM50 sehari pun susah.”

Beliau mencadangkan Malaysia mencontohi bagaimana Emiriah Arab Bersatu membuka semula sempadan untuk pelancongan antarabangsa.

Selepas empat bulan perintah berkurung, Dubai membuka semula pintu masuk kepada pelancong asing bermula 7 Julai lalu. Semua pelancong dikehendaki mengemukakan keputusan ujian Covid-19 dalam tempoh empat hari daripada tarikh penerbangan.

Bagi pelancong yang belum mengambil ujian, mereka boleh berbuat demikian sebaik tiba di Dubai tetapi perlu dikuarantin sementara menanti keputusan.

Industri pengurup wang di Malaysia mencatat perolehan sebanyak RM73.5 bilion pada 2016 dan diramal meningkat kepada RM80 bilion pada 2017. – 3 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen