Sektor pelancongan belum sedia tawar pekerjaan, kata pengusaha


Zaim Ibrahim

Kebanyakan hotel dan syarikat terlibat masih beroperasi secara minimum dan belum sedia tawar pekerjaan baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2020.

SYARIKAT dan pengusaha pelancongan menarik nafas lega selepas tiga bulan tidak menerima kedatangan pengunjung selepas Putrajaya membenarkan aktiviti merentas negeri dan pelancongan,.

Namun sejak kelonggaran itu dibenarkan sejak sebulan lalu, kebanyakan hotel dan syarikat ejen pelancongan masih beroperasi secara minimum dan belum bersedia menawarkan jawatan kosong.

Beberapa pemain industri pelancongan memberitahu The Malaysian Insight, mereka kini lebih menumpukan kepada usaha membangunkan semula perniagaan selepas hampir gulung tikar.

Presiden Pertubuhan Industri Pelancongan Langkawi Ahmad Phisol Ishak berkata, kebanyakan syarikat perhotelan belum berani menawarkan pekerjaan baharu.

“Buat masa sekarang, hotel-hotel di Langkawi belum ambil pekerja baharu. Kakitangan yang diberi cuti pun ada lagi yang belum bekerja.

“Jadi macam mana nak tambah pekerja baharu kalau pekerja lama pun masih diberi cuti?” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Jelasnya, walaupun kedatangan pelancong semakin menunjukkan tanda-tanda positif tetapi ia belum mencapai tahap memuaskan.

“Sasaran kita di Langkawi sekurang-kurangnya ke tahap memuaskan belum tercapai tetapi kita sedang bergerak ke arah itu.

“Pelancong pun tak berapa ramai, banyak lagi laluan di feri dan lapangan terbang belum pulih sepenuhnya seperti sebelum wabak Covid 19,” katanya.

Tambah beliau pasaran masih tidak menentu disebabkan kebimbangan pelanggan ekoran kemunculan kluster jangkitan baharu.

“Jadi hotel pun tak berani panggil semua pekerja dan ambil pekerja baru,” jelas beliau.

Industri pelancongan terutama pelancongan tepi pantai kini masih sepi kerana wujud kebimbangan munculnya kluster Covid-19 baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2020.

Katanya lagi, anak-anak muda digelar budak pantai yang menyedikan perkhidmatan sukan air di Pantai Cenang juga kini hanya mampu menunggu di pantai tanpa pendapatan.

“Melalui persatuan, kami masih memberi bantuan makanan kepada budak pantai sebab mereka kerja freelance. Apabila orang tak ramai, pendapatan pun kurang,” jelasnya.

Portal mencari kerja, Jobstreet pula melaporkan, iklan dalam sektor pelancongan dan hospitaliti mula meningkat apabila industri mulai pulih beransur-ansur.

Jumlah iklan dalam sektor tersebut meningkat sebanyak 22.8% dari Mei hingga Jun lalu, menurut portal tersebut.

Dalam kajian terdahulu, ia mendapati 63% pekerja agensi pelancongan, 66% pekerja hospitaliti serta 60% pekerja industri makanan dan minuman diberhentikan atau tidak bekerja buat sementara.

Industri pelancongan terjejas teruk kerana wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2020.

Mengulas perkara itu, Pengerusi Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Kedah/Perlis Mohd Yusin Mohd Yatim berkata, beliau percaya pengusaha syarikat pelancongan termasuk hotel masih sukar menawarkan pekerjaan baharu sekarang.

“Realitinya semua syarikat kini ambil langkah berjimat cermat, kita beroperasi secara minimum… Mungkin hingga Disember 2020.

“Tiada gunanya kita tawar jawatan kosong kalau tiada bisnes, sebab itu apa yang kami utamakan ialah mencipta permintaan supaya orang bercuti di Kedah dan Perlis,” jelas beliau.  

Tambahnya, MATTA cawangan Kedah dan Perlis akan bekerjasama di Perak dan Pulau Pinang untuk saling mengiklankan produk mereka di luar negeri.

“Apabila kita ada permintaan, kita akan buka peluang pekerjaan kepada ejen pelancongan, pemandu bas, van dan juga teksi untuk membawa penumpang.

“Kalau kita ambil pekerja baharu sekarang kita akan rebah, tawar pekerjaan baharu adalah fasa kedua,” jelas Yusin.

Tahun 2020 sepatutnya menjadi Tahun Melawat Malaysia yang akan merangsang industri pelancongan, tetapi kini semuanya suram kerana Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2020.

Beliau yang juga Pengarah Tropical Charters (TC) Sdn Bhd, syarikat penyedia kapal persiaran mewah, masih tidak memanggil semua pekerjanya bekerja.

“Daripada 60, kini tinggal 40 staf. Saya tidak boleh katakan selebihnya itu sebagai jawatan kosong.. begitu juga hotel daripada 200 tinggal dikurangkan kepada 100 staf,” jelasnya lagi.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang Khoo Boo Lim pula berkata, tawaran jawatan kosong baharu mungkin melibatkan jawatan yang sebelum ini diisi oleh pekerja asing.

Beliau memberi contoh jawatan untuk kakitangan pembersihan yang sebelum ini banyak diisi oleh warga asing.

“Untuk jawatan pengurusan, peluang sangat sedikit.  Ini disebabkan kebanyakkan hotel mahu mengawal dan berhati-hati terutamanya jawatan pengurusan dengan gaji yang tinggi.

“Mungkin, jawatan kosong akan lebih banyak ditawarkan kelak untuk jawatan bergaji rendah dan pertengahan,” jelas beliau. – 3 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen