Pergiat usaha bina generasi bangsa Malaysia


SAYA mengikuti pandangan Tun Mahathir dalam sesi bual bicara ‘live Facebook’ malam tadi. Tun ada menyatakan bahawa wawasan 2020 yang pernah beliau gariskan dahulu gagal mewujudkan Bangsa Malaysia.

Sebagai anak muda yang membesar dengan alunan nyanyian lagu ‘wawasan 2020’ pada zaman persekolahan dahulu, saya memiliki hasrat yang sama; mengharapkan satu Bangsa Malaysia yang hidup bersatu padu dalam citra kerencaman budaya, bahasa, kepercayaan dan warna kulit.

Pada masa yang sama, saya melihat bahawa pada ketika kita melalui tahun 2020 kini, anak muda seusia saya turut bergelut dalam suasana ekonomi yang malap.

Dengan ujian pandemik coronavirus yang melanda seluruh dunia,  ekonomi anak muda bertambah mencabar. Apatah lagi imej Malaysia yang dikaitkan dengan skandal kewangan paling ‘seksi’ abad ini melibatkan Najib - bekas orang nombor satu negara, harapan untuk anak muda mengecapi limpahan kemewahan ekonomi kian sirna.

Orang muda mengharapkan peluang ekonomi yang lebih terbuka merentasi garis tahun 2020. Kami mahukan peluang pekerjaan tercipta dengan lebih meluas disamping limpahan kekayaan ekonomi negara tidak lagi berlegar-legar dikalangan elit industri semata-mata.

Hal ini haruslah berjalan seiring dengan platform pendidikan yang lebih inklusif, pendidikan yang mementingkan agenda perpaduan kaum. Mengapa saya berkata begini?

Kerana saya percaya bahawa anak muda tidak wajar dipecah-pecahkan oleh perbezaan yang kita ada. Kita tidak wajar merencatkan peluang dan bakat anak muda yang akhirnya akan mengganggu partisipasi mereka dalam ekonomi negara.

Saya masih ingat, usaha yang pernah dimulakan oleh mantan menteri pendidikan Dr Maszlee Malik. Beliau menekankan agar pelajar dibenarkan mengambil subjek mengikut minat dan kecenderungan masing-masing.

Ini wajar diteruskan. Ia amat penting untuk memastikan warga pendidik dan para pelajar dapat benar-benar menggunakan institusi pendidikan sebagai wadah meneroka bakat generasi pelapis anak Malaysia.

Kerajaan harus serius memberikan tumpuan dalam membangunkan sektor Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) di mana anak-anak muda harus dilibatkan dengan lebih ramai lagi sebagai pemain utama.

Di mana sahaja kita berada, agenda mempergiat Revolusi Industri 4.0 pastinya menjadi tajuk utama dalam memangkin ekonomi era digital hari ini. Justeru pakej-pakej pendedahan dan latihan kepada usahawan muda mestilah menjadi keutamaan.

Penumpuan ke arah melahir dan memangkin lebih banyak projek melibatkan ‘start up’ perlu dipergiat bagi memastikan lebih ramai bakat-bakat muda tempatan dapat meneroka kemahiran serta pasaran yang lebih luas.

Pada era pentadbiran Pakatan Harapan, saya dapat melihat kesungguhan kami sebagai sebuah kerajaan pusat dan juga kerajaan-kerajaan negeri tadbiran Pakatan Harapan yang ingin memberdaya anak-anak muda.

Ini termasuklah memberikan mereka lebih kuasa dalam konteks demokrasi menerusi undi 18 bagi memastikan partisipasi lebih serius di kalangan anak muda.

Kita kini berada dalam tahun 2020, tahun di mana pernah diangkat sebagai wawasan Malaysia pada era pentadbiran Mahathir satu ketika dahulu. Namun melihat situasi pada masa ini, langkah kehadapan Malaysia masih penuh liku serta cabaran.

Bagaimanapun, usaha membina generasi bangsa Malaysia dengan perjuangan mengangkat survival generasi anak muda dalam lapangan ekonomi mestilah dipergiatkan lagi.

Kita wajib tingkatkan usaha agar kemampanan pembangunan generasi pelapis negara yang lebih inklusif serta berdaya saing dapat direalisasikan.– 2 Ogos, 2020.


* Sheikh Umar Bagharib Ali merupakan Adun Paloh, ketua Pemuda DAP Johor dan setiausaha publisiti DAP Johor

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen