KEMENTERIAN Luar Mexico pada Rabu berkata, kedutaannya di Tel Aviv, Israel tidak akan dipindahkan, walaupun Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk memindahkan kedutaan negara itu ke Baitulmaqdis, lapor agensi berita Xinhua.
Keputusan Mexico itu, selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai status Baitulmaqdis, kata kementerian dalam satu kenyataan.
Pada Rabu, Presiden AS, Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan mengarahkan Jabatan Negara untuk memindahkan kedutaannya ke bandar itu.
Status Baitulmaqdis kekal menjadi isu utama dalam konflik Israel-Palestin.
Setakat ini, masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan tiada negara asing yang menempatkan kedutaannya di bandar itu.
“Mexico mengulangi keyakinannya bahawa penyelesaian politik dan usaha damai terhadap konflik itu mesti menerusi rundingan langsung…membabitkan pihak bertelagah untuk mencari jalan keluar kepada penyelesaian yang hakiki termasuk status muktamad Baitulmaqdis,” kata kementerian itu.
Beberapa negara dunia turut menggesa Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar berhubung isu berkenaan. – Bernama, 7 Disember, 2017.
Komen