Pelabur kembali yakin kerana tiada lagi isu peralihan kuasa, kata Azmin


Zaim Ibrahim

PELABUR asing kini kembali yakin dengan Malaysia kerana tiada lagi isu peralihan kuasa perdana menteri seperti sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kata Azmin Ali.

Menteri kanan ekonomi itu mendakwa, kerajaan Perikatan Nasional (PN) bawah pimpinan Muhyiddin Yassin berjaya memulihkan keyakinan pelabur asing melalui fokus terhadap ekonomi.

Dakwanya, keadaan itu berbeza berbanding sewaktu PH menguasai Putrajaya.

“Pentadbiran sekarang memberi fokus yang serius terhadap pembangunan ekonomi dan keselamatan rakyat.

“Tak berbicara soal politik, kalau dulu (ketika PH) kita setiap hari dengar.. ‘Bila aku nak jadi perdana menteri, siapa akan ganti jawatan perdana menteri, siapa perdana menteri kelapan dan kesembilan’ yang akhirnya menimbul kecelaruan kepada pelabur.

“Sebab itu sejak enam bulan lepas, keyakinan pelabur telah pulih terhadap negara kita kerana mereka melihat fokus Muhyiddin Yassin terhadap ekonomi. Pelabur kini sedia kembali ke Malaysia,” kata beliau.

Walau tidak menamakan Anwar Ibrahim, kenyataan itu jelas satu serangan ke atas presiden PKR tersebut yang dinamakan sebagai calon perdana menteri PH.

Anwar dinamakan PH sebagai perdana menteri ketujuh untuk mengambil alih jawatan tersebut daripada pengerusi Bersatu waktu itu, Dr Mahathir Mohamad.

Anwar bagaimanapun tidak berjaya menjadi perdana menteri ekoran tindakan Bersatu keluar dari gabungan tersebut dan juga kumpulan ahli Parlimen PKR diketuai Azmin yang keluar parti.

Dr Mahathir seterusnya meletak jawatan sebagai perdana menteri apabila tidak lagi menguasai majoriti Dewan Rakyat, dan membolehkan Azmin membentuk kerajaan bersama PAS, Umno dan GPS.

Mengulas tindakan itu, Azmin berkata beliau bertindak dalam usaha perubahan kerajaan disebabkan isu peralihan kuasa Dr Mahathir kepada Anwar.

“Perkara ini walaupun pada awalnya dianggap satu persepsi tetapi jika tidak ditegur oleh kerajaan lama maka rakyat rasa gelisah.

“Maka kita berasa tanggungjawab untuk mengambil tindakan mengikut Perlembagaan supaya perubahan itu berlaku,” jelas bekas timbalan presiden PKR itu lagi.

Kumpulan bekas ahli Parlimen PKR diketuai Azmin dan para pemimpin Bersatu diketuai Muhyiddin kini berusaha menyertai kerajasama Muafakat Nasional dengan PAS dan Umno.

Usaha berkenaan bagaimanapun dipandang sinis oleh pemimpin Umno yang melihat kumpulan berkenaan sebagai beban dan tidak memberi nilai tambah dalam Muafakat Nasional.  – 2 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen