Azmin Ali tak endah kritikan tak tambah kekuatan Muafakat Nasional


Zaim Ibrahim

Azmin Ali enggan layan kritikan Umno Johor bahawa kumpulan ahli Parlimen yang setia kepadanya tidak mampu memberi nilai tambah kepada MN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2020.

AZMIN Ali enggan melayan kritikan Umno Johor bahawa kumpulan ahli Parlimen yang setia kepadanya tidak mampu memberi nilai tambah kepada Muafakat Nasional (MN).

Ahli Parlimen Gombak itu berkata demikian bagi menjawab kritikan Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed yang turut melihat kumpulan tersebut memberi masalah kepada MN.

Azmin berkata beliau dan kumpulannya tetap optimis untuk mencari jalan pertemuan dalam kerjasama PAS dan Umno dalam MN, yang kini juga cuba disertai parti Bersatu.

“Itu pandangan beliau. Saya yang penting, untuk kita membingkai muafakat dan mencari jalan pertemuan.

“Cabaran kita hadapi hari ini getir dan kita boleh selesaikan semuanya jika kita bersedia untuk mengambil sikap terbuka dan berlapang dada cari perdamaian dalam kalangan kita.

“Saya optimis jika ada niat baik, Allah permudahkan usaha kita,” katanya kepada pemberita selepas satu program di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Nur Jazlan dalam satu wawancara memberitahu The Malaysian Insight, kumpulan ahli Parlimen yang diketuai Azmin itu tiada kekuatan kerana bergerak tanpa parti.

“Dalam menghadapi pilihan raya umum, yang nampak ada kekuatan adalah MN dan Bersatu. Kumpulan Azmin nampak kuat sekarang sebab belum pilihan raya.

“Daripada segi kepartian mereka tak kuat dan tidak beri kekuatan kepada MN untuk tubuh kerajaan, sekarang mereka sedang cari tempat,” kata Nur Jazlan.

Tambah bekas timbalan menteri itu, rundingan untuk pembahagian kerusi juga akan menjadi sukar bagi kumpulan berkenaan kerana parti lain sukar mengalah. – 2 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen