Puak Azmin mahu rampas kerusi PKR di Sabah


Zaim Ibrahim

Kumpulan bekas pemimpin PKR yang setia kepada Azmin Ali akan berusaha merampas kerusi parti itu di Sabah dalam Pilihan Raya Negeri yang bakal diadakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2020.

KUMPULAN bekas pemimpin PKR yang setia kepada Azmin Ali akan berusaha merampas kerusi parti itu di Sabah dalam Pilihan Raya Negeri yang bakal diadakan.

Bekas timbalan presiden PKR itu mengesahkan rancangan tersebut namun menjelaskan ia tertakluk kepada rundingan dengan parti komponen Perikatan Nasional dan parti tempatan Sabah.

“Sama ada letak calon atau tidak itu tertakluk kepada perbincangan.  

“Sebelum ini dalam parti saya dulu (PKR), kita bertanding dan menang beberapa kerusi. Saya percaya kita akan pertahankan kerusi-kerusi berkenaan.

“Tetapi ia tertakluk kepada perbincangan dan pimpinan di Sabah dan rakan-rakan PN,” kata beliau kepada pemberita di Pulau Pinang pada malam tadi.

Ketika ditanya, beliau mengulangi bahawa penyertaan dalam PRN itu bergantung kepada perbincangan dengan parti berkenaan.

“Sudah pasti sebagai parti politik kita akan berbincang dengan rakan-rakan PN dan parti-parti di Sabah bagaimana penyertaan kita dalam PRN kali ini,” jelas beliau.

PKR menguasai dua kerusi Dun di Sabah dalam pilihan raya lalu, Inanam dan Api-Api, selain satu kerusi lantikan.

Pada PRU lalu, PKR memenangi dua kerusi DUN iaitu Inanam dan Api-Api. Kedua-duanya kini menyokong bekas ketua menteri Musa Aman yang kini mendakwa menguasai majoriti kerusi.

Dun Sabah bagaimanapun dibubarkan minggu lalu yang menyebabkan satu PRN baharu perlu diadakan dalam tempoh dua bulan.

Sebanyak 73 kerusi Dun akan dipertandingkan dalam PRN Sabah akan datang, termasuk 13 kerusi baharu.

Azmin bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media selepas Majlis Makan Malam Penggerak Komuniti Negara Pulau Pinang di Balik Pulau. – 2 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen