Pulau Pinang giat tarik pelaburan semula era Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Pulau Pinang giat menarik pelabur untuk melabur semula di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2020.

PULAU Pinang sedang berusaha menarik kembali pelaburan daripada pelabur sedia ada, kata Lee Kah Choon, penasihat khas pelaburan kepada ketua menteri mengenai unjuran pelaburan negeri ketika era wabak Covid-19.

“Saya selesa dengan prospek pelaburan Pulau Pinang 2020 kerana kita kemungkinan besar akan dapat melihat pelaburan semula daripada pelabur yang sudah ada di sini,” kata pengarah InvestPenang itu kepada The Malaysian Insight.

“Kami sedang menggandakan usaha untuk mempromosi pelaburan semula.”

Industri elektrik dan elektronik (E&E) yang merupakan sektor utama di Lembah Silikon Timur itu dan industri peranti perubatan adalah sektor sasaran pelaburan semula.

Menurut laporan pelaburan dikeluarkan Pihak Berkuasa Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) untuk suku pertama 2020, Pulau Pinang mempunyai kelulusan pelaburan kedua terbesar dalam sektor pembuatan selepas Sabah- mencecah RM7.1 bilion daripada jumlah keseluruhan negara bernilai RM25.24 bilion.

Daripada RM7.1 bilion itu, RM6.7 bilion adalah pelaburan asing dan pelaburan tempatan hanya berjumlah RM321.1 juta.

Pada 2019, sektor pembuatan negeri menyaksikan jumlah cadangan pelaburan kapital sebanyak RM16.85 bilion, daripada jumlah itu RM15 bilion adalah pelaburan asing.

Pulau Pinang yang merupakan antara lima negeri tertinggi FDI sejak dekad lepas, mempunyai lebih 300 syarikat multinasional dan 3,000 perusahaan kecil dan sederhana.

Bagaimanapun, Lee berkata Pulau Pinang juga tidak terkecuali daripada tempias kesan Covid-19.

“Covid-19 adalah pandemik antarabangsa. Ia menjejaskan semua negara sama rata. Begitu juga dengan pelaburan,” kata Lee.

Menarik pelabur akan bergantung kepada sejauh mana negeri berjaya mengekang wabak itu dan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelabur beroperasi serta dasar pekerja asing.

“Bagi Pulau Pinang, kelebihan kita adalah kesediaan bakat dan rantaian bekalan dalam E&E, dan persekitaran kondusif untuk bekerja, tinggal dan rekreasi.”

Pulau Pinang juga adalah salah sebuah negeri zon hijau Covid-19 di Malaysia.

Negeri itu tidak merekodkan sebarang kes jangkitan baharu sejak 4 Mei lalu. – 2 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen