Tarikan tempatan jadi talian hayat industri pelancongan


Khoo Gek San

Operator pelancongan tempatan mempromosikan pantai, pulau, taman negara dan alam sekitar semula jadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2020.

SAMA ada melihat ikan lumba-lumba di Perak atau buaya di sepanjang Sungai Kuantan, operator pelancongan tempatan kini sibuk mencari destinasi tempatan baharu untuk melonjakkan semula industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Mereka cuba untuk mengembalikan semula industri itu dengan mempromosikan tempat menarik dalam negara, termasuk makanan dan lokasi bersiar-siar di pelbagai negeri susulan, sempadan masih ditutup kerana pandemik.

Bagaimanapun tetap ada tanda amaran – menerusi jumlah tetamu di hotel – bahawa tarikan tempatan saja tidak cukup untuk membangunkan semula industri itu. Oleh itu, sempadan antarabangsa perlu dibuka tidak lama lagi untuk kemasukan pelancong asing.

Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis berkata pemain pelancongan tempatan mempromosikan pantai, pulau, taman negara dan alam sekitar semula jadi.

Uzaidi berkata dalam normal baharu pantai barat semenanjung, Port Dickson dan taman negara Shah Alam menjadi tarikan popular, selain tempat yang jarang dikunjungi seperti paya bakau Kuala Sepetang di Perak.

Katanya, di sini perkampungan nelayan menjadi tempat rehat menarik untuk keluarga di mana mereka berpeluang bertemu ikan lumba-lumba.

Satu lagi tarikan ialah di Sungai Kuantan, di mana buaya boleh dilihat di habitat mereka.

“Anda boleh nampak ikan lumba-lumba di Kuala Sepetang dan alami pengembaraan dikelilingi buaya di Kuantan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata kos, masa dan jarak adalah perkara utama difikirkan pelancong tempatan ketika mencari lokasi percutian.

Operator pelancongan berkata orang ramai lebih suka lokasi yang boleh dikunjungi dengan memandu dalam tempoh dua jam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2020.

Uzaidi berkata kebanyakan lebih suka pakej pelancongan yang bagus tetapi murah, menambah ramai yang memilih ke pantai atau pulau berhampiran tempat tinggal mereka, dan ini memberi faedah kepada kawasan pelancongan tempatan dan hotel.

Katanya, orang ramai juga lebih suka lokasi yang mempunyai akses kereta dalam tempoh pemanduan dua jam.

Uzaidi berkata perjalanan sehari dengan bas juga popular dalam kalangan “mak cik”, seperti lawatan sehari ke Cameron Highlands dan Muar pada hujung minggu.

Katanya, ini adalah peluang kepada perniagaan pelancongan tempatan.

“Memandangkan kita terpaksa pilih hidup bersama Covid-19, langkah pencegahan perlu diambil. Operator pelancongan sering mengingatkan pelancong untuk memantau kesihatan dan mematuhi SOP, terutama yang ditetapkan kerajaan negeri dan persekutuan. Malah taman negara juga ada sekatan,” katanya.

Uzaidi juga memuji kerajaan kerana memberi subsidi kuarantin Covid-19 dan kos ujian saringan untuk pekerja pelancongan, dengan 5,000 klinik kerajaan di seluruh negara siap menerima pesakit dan menjalankan ujian pada harga antara RM60 dan RM80.

Katanya, industri pelancongan tempatan menunjukkan tanda pemulihan walaupun mereka belum menjana keuntungan memandangkan mereka tiada pendapatan sejak awal tahun. – 4 Ogos, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen