Musa Aman takut kuasa rakyat


SAYA merujuk kepada Kenyataan Media oleh Musa Haji Aman bertarikh 30 Julai 2020 di mana mantan ketua menteri Sabah tersebut mendakwa mengemukakan akuan berkanun yang mencukupi menyatakan sokongan terhadap beliau kepada Gabenor Sabah untuk dilantik sebagai ketua menteri, dan seterusnya membantah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah atas alasan keselamatan dan kesihatan awam.

Tiada keperluan mengutuk pembubaran ini. Membubarkan DUN Sabah pada bila-bila masa sahaja, atas sebab apa sahaja, adalah hak perlembagaan ketua menteri Sabah.

Manakala prerogatif sama ada untuk membenarkan pembubaran itu kemudiannya diberikan kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah dan dilaksanakan oleh beliau.

Oleh itu, pembubaran tersebut dilakukan berlandaskan lunas undang-undang di bawah Perlembagaan Negeri Sabah dan mengikuti proses perundangan sewajarnya.

Pembubaran telah menamatkan kehausan dan hasrat keji Musa Aman merebut kuasa di Sabah melalui pintu belakang dan membentuk sebuah kerajaan negeri yang tidak sah tanpa mandat rakyat dan tentunya satu pentadbiran tanpa sebarang kompas moral.

Suatu rampasan kuasa yang memalukan dan dicemari politik melompat parti, pengkhianatan dan wang.

Oleh itu membubarkan DUN Sabah merupakan tindakan terbaik yang sangat mengagumkan serta berani oleh Ketua Menteri Sabah sekarang, Shafie Apdal.

Langkah mengembalikan mandat rakyat kepada rakyat Sabah oleh beliau sangat disokong bukan sahaja oleh rakyat Sabah malah dijunjung oleh rakyat Malaysia di seluruh negara.

Mereka tidak menyokong sebuah kerajaan pintu belakang yang tidak sah yang didorong politik wang dan mereka turut tidak suka dirompak hak demokratik mereka untuk memilih kerajaan pilihan sendiri. Tindakan pantas Shafie Apdal untuk segera membubarkan DUN telah memastikan hak demokratik mereka ini terpelihara.

Rakyat Sabah kini bebas memilih sesiapa sahaja yang mereka inginkan untuk memimpin mereka dan Sabah. Dan bukannya pemimpin politik yang tamak haloba kuasa.

Satu-satunya golongan yang tidak senang hati sama sekali dengan pembubaran ini adalah Musa Aman dan katak-katak politiknya. Mereka seperti takut menghadapi pilihan raya. Saya juga tertanya-tanya mengapa begitu.

Adalah agak ironik sebenarnya bahawa beliau begitu takut untuk menghadapi rakyat Sabah dalam pilihan raya tetapi mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk menjadi ketua menteri mereka.

Walau apa pun, rakyat Sabah kini akan memutuskan siapa yang mereka pilih sebagai ketua menteri Sabah seterusnya. Berkenaan pendapat Musa Aman yang tidak berasas bahawa tidak seharusnya diadakan pilihan raya pada masa ini kerana pandemik, saya hanya ingin mengatakan ini: tidak masuk akal.

Beliau berusaha berkali-kali untuk menumbangkan sebuah kerajaan negeri yang terpilih secara demokratik, ketika kita menghadapi pandemik ini. Tetapi untuk rakyat Sabah memilih secara demokratik sekarang adalah tidak bijak? 

Sifat hipokrit dan tidak tahu malu mesti ada hadnya. 

Tiada sebab sama sekali mengapa kita tidak boleh mengadakan pilihan raya negeri dalam 60 hari yang akan datang.

Pertama, Suruhanjaya Pilihan Raya telah menyatakan di Parlimen pada 16 Julai 2020 bahawa mereka bersedia untuk mengadakan pilihan raya pada bila-bila masa sahaja, di mana sahaja di Malaysia.

Pandemik bukannya suatu halangan. Mereka telah mengenalpasti SOP dan mekanisme untuk memastikan hak rakyat untuk memilih walaupun terdapat pandemik.

Ini juga telah dilihat boleh dilakukan dalam Pilihan Raya Kecil di Chini, Pahang dan sekarang Pilihan Raya Kecil yang akan datang di Slim, Perak.

Kedua, pilihan raya umum juga telah diadakan di Singapura dan Korea Selatan semasa pandemik ini berterusan. Oleh itu, tiada sebab mengapa kita tidak mengadakannya di Sabah.

Hanya Musa Aman yang takut bahawa sekiranya pilihan raya diadakan, rakyat Sabah akan sekali lagi mengusirnya seperti yang mereka lakukan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

Beliau sendiri yang melakukan ini kepada diri sendiri dan seluruh rakyat Sabah. Beliau berusaha mencuri kerajaan tanpa rasa segan malu, tanpa maruah dan kami tidak akan mengizinkannya.

Saya yakin rakyat Sabah sekarang akan memberi beliau pengajaran yang sangat diperlukannya berkenaan demokrasi dan hak rakyat dalam memilih kerajaan mereka.

Jumpa di pilihan raya, Tan Sri. Biarlah rakyat Sabah yang menentukan samada Tan Sri dan sekumpulan geng katak Tan Sri akan mentadbir kerajaan negeri Sabah. – 31 Julai, 2020.

* Liew Vui Keong adalah Ahli Parlimen Batu Sapi, Sabah.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen