Buat laporan polis jika ada maklumat kes pukul warga Nepal, kata menteri


Alfian Z.M. Tahir

Menteri M Saravanan juga sudah memaklumkan kejadian itu kepada Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador untuk tindakan segera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2020.

KEMENTERIAN Sumber Manusia mendesak polis bertindak segera menahan lelaki yang dirakam dalam video tular memukul seorang pengawal keselamatan warga Nepal.

Menteri M Saravanan juga mendesak orang awam yang mempunyai maklumat mengenai penyerang dalam video itu untuk membuat laporan polis.

Tambahnya, beliau juga sudah memaklumkan kejadian itu kepada Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador untuk tindakan segera.

“Tolong hubungi balai polis terdekat. Saya sudah maklumkan KPN. Tidak kisahlah pekerja tempatan atau asing, kami akan membela mereka yang memerlukannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Kedutaan Nepal turut membuat laporan polis selepas video kejadian itu tular.

Dalam kenyataan dikeluarkan di Facebook, Kedutaan Nepal berkata mereka turut mengalu-alukan sebarang maklumat tambahan mengenai kejadian itu.

“Kedutaan Nepal, bimbang dengan video yang baharu tular di media sosial berkaitan serangan terhadap seorang pengawal keselamatan di Malaysia.

“Satu laporan polis sudah dibuat untuk siasatan lanjut. Kedutaan mengalu-alukan sebarang maklumat tambahan tentang kejadian itu menerusi email kami [email protected] atau talian hotline kami 0162472777,” katanya.

Awal hari ini, video berdurasi seminit tular di media sosial memaparkan seorang lelaki, dipercayai warga Malaysia, memukul seorang pengawal keselamatan berulang kali dengan baton.

Lelaki berkemaja putih biru itu dipercayai adalah penyelia syarikat keselamatan dirakam bercakap menggunakan Bahasa Melayu ketika berterusan memukul pengawal keselamatan dengan baton di parkir kereta.

Lelaki itu juga dilihat memukul muka pengawal tersebut yang langsung tidak melawan.

Sumber polis yang dihubungi mengesahkan laporan sudah diterima tetapi tidak mengulas lanjut.

“Siasatan sedang dijalankan,” kata sumber. – 31 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen