Elakkan himpunan besar ketika Aidiladha esok, kata KP Kesihatan


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya khuatir dengan risiko penularan jangkitan Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan menasihatkan orang ramai agar tidak mengadakan sebarang perhimpunan besar-besaran bagi sambutan Hari Raya Aidiladha esok.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya khuatir dengan risiko penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat 

Menurutnya, beberapa prosedur operasi standard (SOP) telah dibangunkan bagi membolehkan sambutan diraikan dengan normal baharu.

“Kita khuatir dengan risiko penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat pada Hari Raya Aidiladha, kerajaan telah mengambil pelbagai pendekatan dalam membenarkan umat Islam meraikan perayaan Hari Raya Aidiladha dengan lebih selamat.

“Beberapa prosedur operasi standard (SOP) telah dibangunkan bagi membolehkan sambutan diraikan dengan normal baharu,” katanya.

Beliau berkata pemakaian pelitup muka amat digalakkan di tempat yang sesak dan sempit, terutamanya sekiranya penjarakan fizikal sukar diamalkan. 

Dr Noor Hisham turut mengingatkan bahawa penjarakan fizikal, kebersihan tangan dan pemakaian pelitup muka amat penting dan perlu diamalkan selalu.

Beliau turut menggesa orang ramai agar lebih berhati-hati di jalan raya, mematuhi arahan pihak berkuasa ketika memandu serta SOP yang ditetapkan semasa singgah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R). – 30 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen