Jangkitan baharu Covid-19 lebih 3 kes berbanding kes pulih 


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada lapan kes baharu itu tiga adalah kes import manakala lima adalah penularan tempatan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2020.

MALAYSIA terus merekodkan lebih banyak kes jangkitan baharu Covid-19 berbanding kes pulih hari ini apabila lapan kes baharu dilaporkan berbanding lima pesakit yang didiscaj.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat lapan kes baharu hari ini, menyebabkan peningkatan kes aktif kepada 223.

Menurutnya, jumlah jangkitan seluruh negara kini 8,964.

Dr Noor Hisham berkata terdapat lima kes pulih setakat tengah hari ini menjadikan jumlah kes pulih 8,617.

Hari ini merupakan hari ke-14 kes jangkitan baharu melebihi kes pulih.

Dr Noor Hisham berkata daripada lapan kes baharu itu, tiga adalah kes import manakala lima adalah penularan tempatan.

Kesemua kes penularan tempatan melibatkan warga Malaysia.

“Bagi penularan tempatan, satu kes dikesan di Kuala Lumpur, satu di Johor dan tiga di Sabah,” katanya pada sidang media hari ini.

Tiga pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan seorang pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, tiada kematian dilaporkan menjadikan jumlah kematian kekal 124 atau 1.38% daripada kes keseluruhan. – 30 Julai, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen