Polis pantau sambutan Aidiladha, kata menteri


Alfian Z.M. Tahir

PEGAWAI polis akan dihantar ke masjid dan rumah untuk memantau perayaan Aidiladha pada Jumaat, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan itu berkata polis akan bertindak terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan untuk membendung penyebaran virus Covid-19.

“Polis akan dihantar ke setiap kampung dan masjid dan mereka juga akan memeriksa setiap rumah di Aidiladha ini.”

“Prosedur yang sama digunakan semasa Aidilfitri dua bulan lalu,” kata Ismail Sabri.

Kerajaan baru-baru ini membenarkan orang ramai merayakan Aidiladha dengan beberapa syarat tertentu termasuk membenarkan penyembelihan haiwan.

Di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan, orang ramai dibenarkan melakukan aktiviti biasa seperti sukan dan rekreasi.

Baru-baru ini Ismail Sabri berkata tidak lebih 20 orang dibenarkan berkumpul dalam satu rumah semasa Hari Raya Aidiladha.

Mereka yang berada di bawah kuarantin tidak boleh menerima pelawat atau meninggalkan rumah sama sekali, katanya.

Ismail menambah orang ramai dibenarkan pulang ke kampung halaman untuk bercuti tetapi perlu mematuhi garis panduan kesihatan dan keselamatan.

“Kami tidak menahan orang atau menutup jalan. Gambar di internet yang menunjukkan khemah didirikan (oleh polis) adalah palsu.

“Orang ramai boleh balik kampung asalkan mereka mengikuti peraturan dan SOP.” – 30 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen