Pemaju perlu hormat proses mahkamah Taman Rimba Kiara, kata Hannah Yeoh


Noel Achariam

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh (tengah) berada di sebelah tiang yang ditandai oleh kontraktor untuk membina pagar di seberang kolam di Taman Rimba Kiara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 Julai, 2020.

TAMAN Rimba Kiara di Kuala Lumpur tidak sewajarnya diceroboh untuk apa-apa pembangunan kerana sebahagian tanah itu masih menjadi kes mahkamah, kata Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Beliau menjawab demikian ketika mengulas mengenai sebahagian tanah Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang akan dibangunkan.

“Perkara itu masih di Mahkamah Rayuan tetapi beberapa hari lalu kita tengok ada seorang juruukur datang bekerja di sini.

“Saya sudah bangkitkan masalah ini (kes mahkamah) di Parlimen dan memberitahu bahawa proses mahkamah perlu dihormati,” katanya semasa lawatan ke Taman Rimba Kiara hari ini.

Penduduk saat ini sedang berusaha merayu terhadap keputusan mahkamah yang menolak permohonan mereka untuk semakan kehakiman bagi mencabar kelulusan pembangunan. 

Yeoh berkata dia memutuskan untuk mengunjungi taman berkenaan bersama penduduk hari ini selepas menerima video serta gambar menunjukkan kerja-kerja pembinaan sedang dibuat di kawasan padang bola.

“Penduduk bercakap dengan pekerja yang memberitahu mereka meletakkan sempadan. Itu sahaja yang mereka katakan.

“Kita pergi dan memeriksa dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetapi pejabat juga seperti tidak tahu apa yang terjadi,” katanya.

Video kerja pembinaan yang dilakukan di taman bersebelahan dengan padang bola menunjukkan kira-kira 20 tiang berketinggian 1.5 meter didirikan beberapa hari lalu.

Yeoh berkata pemaju Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) mengatakan bahawa taman itu tidak akan dicerobohi.

“Mereka melakukannya (keranan) hujung minggu yang panjang (Hari Raya Haji) ketika semua orang tak ada.

“Kepada menteri baharu (Annuar Musa), kita sudah memperjuangkan isu ini sejak sekian lama dan kami tidak akan mengalah,” katanya.

Pengerusi Persatuan Penduduk TTDI Abdul Hafiz Abu Bakar berkata penduduk marah kerana padang bola mereka sudah musnah.

“Kes masih di mahkamah jadi hormati proses mahkamah.

“Kami mahu pihak berkuasa dan pihak terlibat segera membuang tiang berkenaan.

“Padang ini untuk anak-anak tetapi sudah dicerobohi,” katanya.

Mengenai pertukaran nama dari Taman Rimba Kiara ke Taman Awam Bukit Kiara Yeoh berkata dia akan membangkitkan isu tersebut di Parlimen.

Semalam persatuan penduduk TTDI menuduh pihak berkuasa cuba mengubah status taman dengan menamakannya semula. – 30 Julai, 2020.

Berita penuh di sini 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen