Pentingnya akta khusus hentikan drama lompat parti


WALAUPUN terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan undang-undang khusus berkaitan dengan lompat parti, pihak yang berkaitan dalam negara kita perlu memberi pertimbangan terhadap cadangan bagi mewujudkannya.

Ini bagi menghentikan tindakan mana-mana pihak yang telah dipilih dan dilantik oleh rakyat melalui proses pilihan raya yang sah daripada melompat parti tanpa sebab yang kukuh atau alasan yang munasabah. 

Undang-undang khusus ini juga penting bagi menjamin kestabilan politik dan pentadbiran negara untuk tempoh jangka masa panjang.

Paling penting, ia dapat melindungi hak rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli politik ketika proses pilihan raya. 

Drama lompat parti harus dihentikan bagi mengelakkan rakyat pening dan sakit kepala melihat gelagat ahli politik yang melompat parti.

Tindakan melompat parti tanpa sebarang alasan yang munasabah dibimbangi akan menyebabkan negara berada dalam keadaan yang tidak menentu serta tidak stabil sehingga boleh menjejaskan proses pentadbiran negara. 

Sekiranya amalan melompat parti ini berterusan berlaku juga, dibimbangi negara boleh menjadi huru-hara, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara terjejas sekaligus memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat. 

Namun sukar untuk cadangan undang-undang anti lompat parti dilaksanakan pada masa kini kerana ia dilihat bertentangan dengan prinsip dan jaminan kebebasan kepada semua rakyat Malaysia untuk berpersatuan selaras dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan. 

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kebebasan setiap warganegara Malaysia untuk bercakap, berhimpun dan berpersatuan. 

Perkara (10)(1) menyatakan dengan jelas bahawa (a) tiap- tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara, (b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata dan (c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.

Pada masa sama, terdapat kes mahkamah yang jelas. Pada April 1992, Mahkamah Agung ketika itu (Mahkamah Persekutuan kini) dalam kes Nordin bin Salleh v Dewan Undangan Negeri Kelantan [1992] 1 CLJ 343 memutuskan undang-undang yang mewajibkan seseorang anggota dewan yang bertukar parti untuk mengosongkan kerusi bercanggah dengan prinsip kebebasan berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. 

Walaupun terdapat kes mahkamah mengenai isu ini, namun perlu diketahui juga pihak Mahkamah Persekutuan mempunyai kuasa untuk mengubah keputusannya sendiri. 

Pihak Mahkamah Persekutuan boleh diberi peluang untuk mengkaji semula keputusan Nordin Salleh serta mendapat satu bentuk perundangan yang baru terhadap isu lompat parti.

Proses pengkajian ini bukanlah satu perkara yang baru. Ia boleh dilihat dalam kes Adorna Properties lwn Boonsom Boonyanit, di mana keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2000 dikaji semula oleh mahkamah yang sama pada 2010. 

Sebagaimana Mahkamah Persekutuan mengkaji semula keputusannya dalam kes Boonsom Boonyanit selepas 10 tahun, diharap ia dapat mengkaji semula keputusannya dalam kes Nordin Salleh bagi menyelesaikan isu lompat parti.

Cadangan bagi mewujudkan peruntukan undang-undang khusus terhadap isu lompat parti ini penting kerana implikasi besar yang boleh timbul sekiranya tiada tindakan tegas diambil dari sekarang bagi membendungnya. 

Melalui cadangan undang-undang itu, wakil rakyat yang bertukar parti boleh diberikan syarat untuk mengembalikan jawatan dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk memilih sekali lagi wakil mereka.

Cadangan mewujudkan peruntukan undang-undang khusus ini boleh dipertimbangkan oleh mana-mana pihak yang berkaitan, demi kestabilan politik jangka panjang serta bagi mengelakkan negara menjadi kucar-kacir akibat isu lompat parti yang tidak berkesudahan. – 30 Julai, 2020.

* Dr Muzaffar Syah Mallow, pensyarah kanan Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen