IBU bapa mengalu-alukan peraturan mewajibkan pemakaian pelitup muka pada 1 Ogos demi keselamatan anak mereka, namun meluahkan kebimbangan tentang keberkesanannya selepas digunakan dalam tempoh yang panjang.
Ada yang terpengaruh dengan hasil kajian dari Korea pada Februari yang mendakwa penggunaan jangka panjang pelitup muka dalam kalangan kanak-kanak mengurangkan kadar pernafasan 8% seminit, yang menyebabkan pengurangan oksigen sebanyak 10% dan boleh membawa kepada masalah kesihatan seperti insomnia dan sakit kepala.
Ibu bapa yang ditemui The Malaysian Insight berkata, memandangkan anak-anak mereka perlu memakai pelitup muka untuk beberapa jam di sekolah, mereka merancang untuk memastikan anak mereka berada di rumah sekerap mungkin selepas kelas bagi mengelakkan perlu pakai pelitup muka.
“Anak saya menghidap asma namun ia tidak serius. Selain ke sekolah, kami cuba pastikan dia berada di rumah sekerap mungkin agar tidak perlu memakai plitup muka dalam tempoh yang panjang ketika berada di luar,” kata suri rumah Loo Yoke Peng, 44.
Tambahnya, anaknya yang berusia tujuh tahun perlu sering kali diingatkan untuk memakai pelitup muka ketika berada dalam kelas dengan murid lain.
Lee Lay Lee, 52, mengalu-alukan peraturan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat umum, terutamanya kanak-kanak.
“Kita juga cuba pastikan anak berada di rumah sekerap mungkin selepas sekolah.”

Katanya, beliau memilih pelitup muka yang dibuat dengan bahan yang selesa dipakai kerana anak-anaknya perlu memakainya setiap hari di sekolah.
Bagaimanapun beliau bimbang dengan perbelanjaan memandangkan keluarganya perlu gunakan lima topeng muka setiap hari.
Bagi jurujual Tan Chee Kai, 38, untuk empat ahli keluarganya, beliau memerlukan RM100 sebulan bagi bekalan pelitup muka baharu setiap hari.
“Isteri saya terpaksa pakai pelitup muka untuk bekerja, begitu juga anak kami ke sekolah. Jadi kami perlukan banyak pelitup muka,” katanya dan menambah perbelanjaan jangka panjang itu akan menjadi beban kepada rakyat.
Tan dan Lee juga bimbang harga runcit pelitup muka akan melonjak naik berikutan permintaan tinggi.
Bagaimanapun, kerajaan menetapkan harga siling pada RM1.20 sekeping, turun daripada RM1.50 berkuatkuasa 15 Ogos.
Kerajaan turut menggalakkan penggunaan pelitup muka kain yang dibuat sendiri, terutama bagi keluarga besar, namun menegaskan ia perlu mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Bekas timbalan menteri kesihatan di bawah Pakatan Harapan Dr Lee Boon Chye turut mencadangkan kerajaan menyediakan topeng muka guna semula kepda pelajar bagi mematuhi peraturan wajib itu.
Kerajaan pada 23 Julai lalu mengumumkan pemakaian pelitup muka diwajibkan di kawasan awam yang sesak dan pengangkutan awam susulan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka yang tidak memakai pelitup muka di tempat awam akan didenda RM1,000. – 30 Julai, 2020.
Komen