Britain ambil tindakan keras terhadap rakyat terbabit IS


Menteri Pertahanan Britain, Gavin Williamson bersumpah anggota Islamic State yang melarikan diri ke negara lain juga akan dikesan dan menolak penghantaran balik mereka. – Gambar EPA, 7 Disember, 2017.

RAKYAT Britain sedang berusaha memastikan anggota kumpulan militan Islamic State (IS) dikesan dan dibunuh serta tidak dibenarkan kembali ke negara itu, kata menteri pertahanan barunya Gavin Williamson kepada Daily Mail hari ini.

“Pandangan saya adalah pengganas yang sudah mati tidak akan membahayakan Britain,” katanya kepada tabloid tersebut.

“Kita perlu melakukan segala yang boleh untuk memusnahkan dan menghapuskan ancaman itu.”

Dianggarkan seramai 800 pemegang pasport British ke Iraq dan Syria, dengan 130 orang terbunuh dan kira-kira 400 orang pulang ke negara itu sementara 270 lagi masih berada di Timur Tengah.

Isu ini menjadi tumpuan utama pada 2014 apabila warga British Mohammed Emwazi, yang juga dikenali sebagai “Jihadi John”, muncul dalam video propaganda IS yang menunjukkan beberapa tebusan dipenggal.

Williamson, yang menjadi ketua pertahanan bulan lalu selepas Michael Fallon meletak jawatan atas dakwaan salah laku, bersumpah anggota IS yang melarikan diri ke negara lain juga akan dikesan dan menolak penghantaran balik ke Britain.

“Pastikan tiada ruang yang selamat bagi mereka, supaya mereka tidak dapat ke negara lain untuk menyebarkan kebencian, konsep kematian mereka.”

Wawancara beliau dilakukan beberapa jam selepas dua lelaki didakwa di mahkamah London kerana terbabit dengan plot membunuh Perdana Menteri Britain Theresa May. – AFP, 7 Disember 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen