Lelaki cuba rasuah polis ditahan 


POLIS menahan seorang lelaki kerana cuba menyogok dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dengan wang tunai RM1,000, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Mohd Padzli Mohd Zain berkata lelaki berumur 29 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 8.40 pagi di sekitar Taman Daya di sini kerana menghalang tugas penjawat awam, memiliki rokok tidak bercukai serta cuba memberi rasuah kepada dua anggota polis berpangkat Lans Koperal.

Beliau berkata pada mulanya polis menemui 365 karton rokok tidak bercukai kastam dianggarkan bernilai RM30,000 di bahagian belakang tempat duduk dan di dalam bonet kenderaan yang dipandu lelaki itu, sebelum dia menghulurkan wang RM1,000 kepada anggota URB sebagai imbuhan supaya tidak diambil sebarang tindakan.

Katanya lelaki itu kemudiannya terus ditahan serta merta dan wang tunai berjumlah RM11,816 dipercayai hasil jualan rokok tidak bercukai, serta kesemua 365 karton rokok tidak bercukai kastam itu dan kereta Honda FB berkenaan, dirampas untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967, dan selepas siasatan polis selesai, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Bahru akan mengambil alih untuk siasatan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM,” katanya menerusi kenyataan hari ini.– Bernama, 29 Julai, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen