2 pengarah syarikat didakwa pecah amanah RM1.64 juta 


DUA pengarah syarikat swasta didakwa di Mahkamah Sesyen di Shah Alam, hari ini, atas sembilan pertuduhan pecah amanah membabitkan wang tunai berjumlah RM1.64 juta antara tahun 2013 hingga 2014.

Kedua-dua tertuduh, Kwan Teck Hian, 45, dan Sin Kiong Fatt, 52, yang masing-masing merupakan pengarah Insuflex Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Kwan didakwa atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah mermbabitkan wang tunai RM781,300 antara 3 Oktober 2013 hingga 10 Mac 2014 di sebuah bank di Jalan Raja Haroun, Kajang.

Sin pula didakwa atas lima pertuduhan sama membabitkan wang berjumlah RM860,119.98 antara 30 Julai 2013 sehingga 20 Januari 2014 di sebuah bank tempatan di lokasi sama.

Kedua-dua lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azmi Yusuf memohon mahkamah menetapkan jaminan RM85,000 bagi setiap tertuduh atas kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan.

Peguam Aiman Abdul Rahman, yang mewakili Kwan dan Sin, bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan kedua-dua anak guamnya memberikan kerjasama penuh kepada SPRM semasa tempoh siasatan.

Hakim Rozilah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM50,000 setiap seorang dengan dua penjamin dan mengarahkan mereka menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah serta melapor diri setiap awal bulan di pejabat SPRM terdekat.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 4 Sept depan.– Bernama, 29 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen