Tidak bubar Parlimen walaupun Najib sabit, kata sumber


Diyana Ibrahim

Bekas perdana menteri Najib Razak ketika hadir di Komplek Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Semalam mahkamah memnjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda kerana didapati bersalah atas tujuh tuduhan jenayah.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 29 Julai, 2020.

PERIKATAN Nasional (PN) tidak akan membubarkan Parlimen untuk pilihan raya semula, kata sumber, biarpun selepas mahkamah mendapati Najib Razak bersalah atas tujuh tuduhan jenayah semalam dan dihukum penjara 12 tahun dan denda.

Keputusan itu dicapai dalam pertemuan antara ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Parlimen awal petang tadi.

Sumber memberitahu dalam pertemuan itu mereka berbincang mengenai kedudukan ahli Parlimen yang bersama PN susulan keputusan mahkamah semalam.

“Perdana menteri tanya sama ada kita nak teruskan Parlimen atau (bubar) sebab sekarang kerusi dah kurang, tinggal 112 ahli Parlimen saja.

“Jadi beliau tanya nak teruskan atau bubar. Tapi semua buat keputusan nak teruskan Parlimen,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Dalam perbincangan itu, mereka memberikan pandangan Najib masih boleh hadir sidang Parlimen kerana status kesnya masih terbuka untuk rayuan, tambahnya.

Mahkamah Tinggi semalam mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan melibatkan jenayah pecah amanah, salah guna kuasa, dan mengubah wang haram dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi tiga tuduhan pecah amanah, 10 tahun bagi 3 tuduhan mengubah wang haram dan 12 tahun dan dengan RM210 juta bagi tuduhan salah guna kuasa. Semua hukuman berjalan serentak.

Sementara itu portal PNBBC memetik dua ahli Parlimen Umno Shahidan Kassim dan Ahmad Maslan mengesahkan pertemuan tetapi enggan mendedahkan sebarang butir perbincangan.

Umno kecewa

Keputusan mahkamah terhadap kes bekas perdana menteri semalam mengundang kemarahan akar umbi Umno, kata pemimpin Umno kepada The Malaysian Insight.

Mereka mahu Umno menarik balik sokongan terhadap Perikatan Nasional sebaliknya memberi tumpuan hanya kepada kerjasama Muafakat Nasional bersama PAS, kata dua ahli Majlis Tertinggi Umno.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Razlan Rafii tidak menolak suara akar umbi itu akan dibincangkan oleh pimpinan tertinggi sekiranya ada usul yang dibawa melalui mesyuarat cawangan dan bahagian.

“Memang ada penyokong yang terguris hati. Ia sebenarnya pelbagai pandangan.

“Dalam realiti hari ini kita lihat jentera PAS dan Umno yang ada dan Bersatu ini parti baru jadi mereka masih tidak ada kekuatan itu.

“Sentimen itu ditimbulkan apabila melihat keputusan semalam. Bagi mereka  ia tidak sepatutnya berlaku.

“Akar umbi boleh sampaikan pandangan tapi harus di bawa ke mesyuarat,” katanya.

Beliau menambah setakat ini belum ada panggilan untuk mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Zahidi Zainul Abidin yang juga timbalan menteri komunikasi dan multimedia berkata kerajaan PN masih kukuh biarpun terdapat gesaan akar umbi Umno agar parti menarik diri.

“Kita masih elok berkerjasama. Tapi kita tengoklah selepas pilihan raya umum macam mana,” katanya.

Semalam Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno akan mengambil “keputusan politik besar” selepas keputusan mahkamah mensabitkan Najib yang bekas presiden parti.

Pada masa sama, beliau meminta ahli Umno berlapang dada dan berfikiran terbuka dengan apa juga keputusan parti. – 29 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen