Parlimen tiada kuasa kawal pergerakan ahli Parlimen di luar, kata speaker


Ragananthini Vethasalam Chan Kok Leong

Sebahagian penyokong Najib Razak yang hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2020.

DEWAN Rakyat tiada kuasa mengawal pergerakan ahli Parlimen di luar, kata Speaker Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata demikian sebagai tindak balas kepada pertanyaan RSN Rayer (Jelutong-PH) mengenai apakah ahli Parlimen yang hadir pada perjumpaan penyokong Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam harus dikuarantin jika berlaku penularan Covid-19.

Ramai yang hadir termasuk ahli Parlimen Umno berkumpul memberi sokongan kepada bekas perdana menteri ketika mahkamah menjatuhkan keputusan berhubung tuduhan rasuahnya dalam kes SRC International. Orang ramai terpaksa diberi amaran oleh polis beberapa kali agar menjaga penjarakan sosial dan memakai topeng muka.

Rayer memberitahu Dewan Rakyat hari ini yang Ahmad Maslan (Pontian-BN) dan Abdul Azeez Abdul Rahim adalah antara ahli Parlimen yang hadir pada perhimpunan itu dan tidak memakai pelitup muka. Noh Omar (Tanjung Karang-BN) juga ada di sana dan memakainya.

“Kita sekarang terdedah. Semalam ketika saya pergi ke kedai kopi, saya ditanya apakah peraturan (mengikuti prosedur operasi standard terhadap Covid-19) hanya terpakai kepada orang awam sahaja. (Orang bertanya) bagaimana dengan ahli Parlimen daripada kerajaan. Oleh itu, adakah YB Baling, Pontian dan Tanjung Karang boleh dikuarantin?” soal Rayer.

Azhar menjawab tidak diketahui jika ada yang menghidap Covid-19 dan menjangkiti ahli Parlimen yang hadir di sana.

“Kita tidak mempunyai kuasa mengawal pergerakan ahli Parlimen di luar Dewan. Saya rasa selagi tidak terbukti mereka mempunyai gejala Covid-19, kita tidak boleh melarang mereka memasuki Dewan,” kata speaker itu.

Bagaimanapun, Azhar mengingatkan ahli Parlimen agar selalu mematuhi SOP untuk mencegah jangkitan Covid-19.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga kesal dengan kurangnya kawalan kendiri oleh mereka yang menghadiri perhimpunan di luar mahkamah. – 29 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen