Putrajaya tidak laksana program subsidi petrol cadangan Pakatan


Ragananthini Vethasalam Chan Kok Leong

Kementerian Kewangan akan menyediakan memorandum untuk memuktamadkan pendirian kerajaan mengenai program subsidi petrol. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2020.

PUTRAJAYA tidak akan meneruskan program subsidi petrol (PSP) yang dicadangkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat dengan Kementerian Kewangan pada 9 Julai lalu.

“Mesyuarat itu memutuskan dua perkara. Pertama, tidak meneruskan PSP. Kementerian Kewangan akan menyediakan memorandum untuk memuktamadkan pendirian kerajaan mengenai PSP,” katanya semasa menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut skim yang akan dicadangkan oleh Putrajaya untuk subsidi bersasar.

Rosol menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (Setiu-PAS) yang meminta kerajaan menyatakan tarikh baharu pelaksanaan setelah ia ditangguhkan oleh Kabinet.

Pada 18 Disember 2019, Kabinet semasa pentadbiran PH memutuskan pelaksanaan PSP yang sepatutnya bermula pada Januari 2020 tidak diteruskan sehingga satu masa yang akan diumumkan kemudian.

Ia ditangguhkan ketika itu bagi membolehkan penerangan lebih jelas mengenainya disebarkan kepada rakyat, dan pada masa sama, menyelesaikan pendaftaran penerima daripada kelompok M40.

PSP mula diumumkan pada 7 Oktober 2019 sebagai antara janji pilihan raya yang ditunaikan oleh PH.

Di bawah program itu, kerajaan memperuntukkan RM 2.4 billion melalui Belanjawan 2020, yang memberi manfaat kepada 8 juta orang daripada kelompok B40 dan M40. β€“ 29 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen