Agenda politikus mabuk kuasa di tengah wabak menggila


Zainal Rashid Ahmad

SEORANG rakan wartawan TV memaklumkan arahan sudah diberikan “pihak tertentu” untuk persediaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Oktober ini.

Malah katanya, semua ketua pengarang dan ketua editor media massa kini mula bersedia menuju PRU15.

Saya menolak pandangan sebagai ramalan “tidak masuk akal”. Atau satu “bacaan populis” bagi yang cuba menjadi “tukang tilik PRU”.

Ada wartawan lain juga memaklumkan: “Semua bilik berita sudah bersiap sedia berdepan PRU15 dalam tiga bulan ini. Oktober pastinya.”

Politik memang sukar diramal, tetapi politik juga ada kayu pengukurnya.

Politik menciptakan “nature” tersendiri tetapi ia terhasil oleh agenda dan sikap orang politik sendiri.

Dalam politik, permainan ramalan satu amalan harian. Politik melahirkan lebih ramai “tukang sihir” berbanding dunia sihir itu sendiri.

Politikus bermain agenda bagi memastikan media massa mencipta ruang ramalan.

Media massa yang “berotak bidak” dan tidak pandai kendiri akan hanyut dalam permainan sihir politik begini.

Sasaran politikus ialah mencipta “kecelaruan” sebagai antara cara seni sihir “mempengaruhi” rakyat.

Untung rugi sokongan rakyat adalah sifir mudah ketika mencatur agenda berpolitik.

Dalam banyak keadaan, politikus populis dan desparado hanya menjadikan rakyat sebagai bahan permainan dan seni “hiburan politik”.

Namun, matlamat politikus jenis ini sangat jelas: mereka memiliki kepentingan nafsu politik dalam semua permainan ini.

Seperti kata penyanyi sohor di Indonesia dalam lagunya “Manusia Setengah Dewa”: “Walau hidup adalah permainan/ Walau hidup adalah hiburan/ Tetapi kami tak mau dipermainkan/ Dan kami juga bukan hiburan”.

Iwan Fals memang tegar dan sentiasa mengkritik politikus murahan di Indonesia.

Lagu dan hentaman liriknya sentiasa tajam menghentak; apatah lagi kalau sikap politik pemimpin Indonesia termasuk presiden – dilihatnya mempersendakan rakyat.

Dalam konteks Malaysia, kita melihat perlunya tugas dan tanggungjawab politik kini kekal fokus dan terarah pada agenda mengawal pandemik Covid-19.

Serta keutamaan kerajaan untuk kekal bijak mengendalikan musibah pengangguran serta isu kelingkupan perniagaan yang ini mendera rakyat Malaysia.

Kita lega dengan kawalan pandemik Covid-19 yang dilaksanakan kerajaan.

Walaupun 8,943 kes jangkitan dan 124 kematian setakat ini, Malaysia berada pada prestasi terbaik dengan purata 95% (8,607) kes sembuh, berdasarkan data 28 Julai 2020. Manakala angka kematian dibawah 1.5% antara yang terendah di dunia.

Ekonomi masih di tahap bencana

Tapi bagaimana dengan isu ekonomi?

Kita bakal berdepan lebih sejuta angka pengangguran menjelang laporan ekonomi suku kedua hingga Jun lalu.

Pada hujung Mei lalu, angkanya lebih 826,100 kes atau orang purata 5.3% pengangguran. Negara sihat ekonomi mesti berada di paras bawah 3% pengangguran.

Laporan data Jun pasti melambung melebihi sejuta kes. Fokus utama kerajaan mesti menanganinya impaknya terutama iklim ekonomi dijangka kekal menurun hingga Jun 2021.

Media massa perlu juga fokus mengenai krisis ini. Walaupun boleh saja bergedik dan mengikut rentak politik yang mabukkan PRU15 disegerakan.

Cuma mualnya, tidak perlulah hari demi hari kita dimomok dengan laporan perlunya PRU15 disegerakan.

Malaysia turut berdepan krisis kelingkupan perniagaan; daripada penjaja kecil sampai entiti bisnes milik syarikat senaraian awam.

Setakat ini lebih 100,000 syarikat perniagaan terutama Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) sudah gulung tikar. PKS menyumbang 40% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK).

Realitinya, sudah lebih 10% syarikat PKS ditutup sepanjang empat bulan krisis ekonomi akibat Covid-19.

Relatif dan realistiknya – PRU 15 bukan keutamaan sekarang!

Ahli politik yang gagal mendapat manfaat dalam pembentukan Perikatan Nasional (PN) paling kuat mencatur agenda mahukan PRU15.

Ini “penyalak utama” yang sentiasa menjual isu “kerajaan perlukan mandat baharu rakyat”.

Matlamat puak ini ada sangat peribadi; kelompok ini mahukan kedudukan.

Selagi tidak kembali kepada PRU – tanpa kedudukan dalam kerajaan PN sekarang –  puak ini hanya menjadi “melukut di tepi gantang”.

Hujah rakyat sebenarnya mudah: Walaupun dengan majoriti satu kerusi, ia tetap mandat dalam sistem demokrasi.

Soal lompat sana-sini dan menciptakan kekacauan dan ketidakstabilan politik bukan dosa rakyat.

Itu sikap jijik ahli politik kita sendiri yang menjadikan demokrasi kita berorientasikan budaya lompat sokongan.

Barangkali dalam suasana ini, antara nafsu besar ahli politik dan duka rakyat yang terbeban ekonomi, lirik Iwan Fals dalam lagu “Manusia Setengah Dewa” sekali lagi boleh menasihati kita semua:

“Turunkan harga secepatnya/ Berikan kami pekerjaan/ Pasti kuangkat engkau

Menjadi manusia setengah dewa.

“Masalah moral masalah akhlak/ Biar kami cari sendiri/ Urus saja moralmu urus saja akhlakmu/ Peraturan yang sihat yang kami mahu.”

Banyak pemimpin PN kini ke sana-sini mengadakan siri ucapan. Malangnya, bukan siri ucapan untuk membantu rakyat memahami dasar pembangunan pemulihan ekonomi yang dibangunkan PN sendiri.

Sebaliknya ghairah menjadi “duri dalam daging” dengan menghasut rakyat dan ahli parti menuntut PRU15 disegerakan.

Orang politik sentiasa celik kuasa. Walaupun selalunya buta pada nasib rakyat sebagai manusia.

Kepada wartawan dan media massa; biarlah ahli politik yang kemaruk bercakap soal kuasa.

Tidak perlu tenggelam dan melemaskan seluruh negara dengan momokan perlunya PRU15. Tidak perlu menjadi bidak pada mereka yang “meroyan” kuasa.

Wartawan dan media massa lebih wajar fokus pada keutamaan tugas dan berperanan kearah kestabilan ekonomi negara.

Sejuta rakyat hilang kerja dan tiap hari angka pengangguran tidak pernah menurun. Setiap minggu juga ada bisnes gergasi, PKS dan penjaja kecil yang gulung tikar.

Kisah rakyat lebih utama dijadikan agenda bilik berita. Wartawan tidak perlu sama merapu seperti ahli politik yang gila kuasa. – 29 Julai, 2020.
 

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen