PBB desak inkuiri dakwaan genosid Rohingya


Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia menggesa siasatan jenayah antarabangsa diadakan terhadap serangan kejam kepada etnik Rohingya di Myanmar. – Gambar AFP, 7 Disember, 2017.

PESURUHJAYA Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia menggesa siasatan jenayah antarabangsa diadakan terhadap serangan kejam yang menyebabkan lebih 600,000 etnik Islam Rohingya dari Myanmar melarikan diri ke Bangladesh sejak Ogos sambil menegaskan kewujudan “unsur genosid” terhadap minoriti Rohingya tidak dapat ditolak.

Zeid Ra’ad Al Hussein berkata populasi Rohingya di Myanmar sejak berdekad menghadapi situasi tidak mempunyai negara, menjadi mangsa diskriminasi dan pemisahan selain keganasan dan penderaan dahsyat dan yang memburukkan lagi mereka mengalami kemusnahan kampung, rumah dan harta benda serta kehidupan”.

“Berdasarkan semua ini, bolehkah sesiapa menolak kewujudan elemen genosid,” katanya ketika berucap pada sesi khas Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) pada Selasa yang diadakan berikutan perkembangan yang menyaksikan ratusan ribu etnik Rohingya melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh.

Sesi khas mengenai situasi hak asasi manusia masyarakat Islam Rohingya dan minoriti lain di Rakhine, Myanmar, diadakan atas permintaan Bangladesh dan Arab Saudi, dan disokong oleh beberapa negara anggota HRC yang lain dan Malaysia juga antara negara pemerhati yang menyokong bagi mengadakan sesi khas itu.

Zeid berkata beliau sudah melaporkan kepada HRC dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai dakwaan serius pencabulan hak asasi manusia oleh pasukan keselamatan.

Bagaimanapun, pendakwaan atas tindakan keganasan yang dikatakan dilakukan ke atas etnik Rohingya termasuk keganasan seksual, sama ada dilakukan oleh pasukan keselamatan atau orang awam amat jarang dijalankan. – Bernama, 7 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen