UMNO akur keputusan mahkamah mensabitkan Najib Razak atas atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa dan akan berbincang mengenai hala tuju parti, kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya bersedih dan bersimpati kerana beliau merupakan rakan saya, tetapi beliau beritahu bahawa ‘this is not end of the world’.
“Tentunya kita akan mengambil sesuatu keputusan politik yang agak besar hasil daripada keputusan mahkamah yang dibuat hari ini” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas hukuman dijatuhkan hari ini.
Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta ke atas bekas perdana menteri itu.
Najib dihukum penjara 12 tahun bagi tuduhan salah guna kuasa, serta penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.
Ahli Parlimen Pekan itu masih berdepan empat lagi perbicaraan. – 28 Julai, 2020.
Komen