Data PRU14 tak jamin Perikatan rampas kerusi Parlimen Kedah, kata penganalisis


Zaim Ibrahim

Perikatan Nasional memang berpeluang cerah menguasai Kedah sebagaimana ketika PRU14 tetapi disekat beberapa faktor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2020.

PELUANG PAS, Umno, dan Bersatu untuk menguasai lebih banyak kerusi Parlimen di Kedah tidak tidak boleh ditentukan dengan hanya mengambil kira data pilihan raya lepas, kata penganalisis.

Pengkaji ini memberitahu The Malaysian Insight, gabungan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) sememangnya berpeluang cerah menguasai Kedah tetapi kemenangan itu mungkin disekat beberapa faktor.

Penganalisis dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, corak pengundian dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak boleh dijadikan kayu ukur kerana perubahan parameter.

Jelasnya, PN antara lain perlu mengambil kira pencapaian pentadbiran mereka dan faktor sokongan pengundi baharu serta sikap penyokong sedia ada dan juga para pemimpin parti.

“Corak pengundian pada PRU14 tidak boleh dijadikan panduan untuk corak pengundian PRU15 kerana jumlah pengundi bertambah dan dinamik politik juga berubah bergantung kepada pencapaian PN di pusat dan negeri.

“PN juga kena berhati-hati supaya tidak terjerat dengan keyakinan politik yang kini tinggi di Kedah.

“Ini kerana strategi politik sejauh mana hebat pun tidak mampu bawa kemenangan, sekiranya PN gagal menyatukan pemimpin dan penyokong khususnya dalam isu pencalonan,” katanya.

Beliau memberi amaran, pemimpin berkenaan akan mengundang bala kepada parti sekiranya permintaan mereka tidak dipenuhi.

“Pemimpin yang kecewa tidak dicalonkan mungkin akan sabotaj parti seperti yang pernah berlaku ketika PRU12, PRU13 dan PRU14,” kata Azizuddin.

Tambahnya, walaupun kerjasama erat dalam PN mampu menyumbang kepada kemenangan, faktor dua tokoh politik, Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Mukhriz tidak boleh dipandang ringan.

“Jangan pandang rendah pada kekuatan Pakatan Harapan (PH) yang merupakan negeri mantan perdana menteri, Dr Mahathir dan bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir.

“Mereka dan PH ada sokongan, kekuatan, dan pengalaman untuk memenangkan PH. Namun, jika PH masih berbalah sesama sendiri… PN ada peluang cerah menang dalam PRU15,” tambahnya.

Pengerusi Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar juga berkata, terlalu awal untuk melihat sama ada PN mampu menguasai Parlimen di Kedah dengan hanya berdasaran data PRU14.

Jelasnya, pola pengundian dalam pilihan raya kecil juga tidak boleh dijadikan asas untuk mengukur kekuatan dalam pilihan raya akan datang kerana keadaan yang berbeza.

Selain itu, sokongan ke atas PAS dalam PRU14 juga tidak boleh dinyatakan sebagai undi daripada penyokong parti tersebut di Kedah.

“Semasa PRU14 kami sedar terdapat kelompok pengundi PAS tetapi dia bukan penyokong dan melihat kekuatan PAS.

“Kelompok ini mengundi PAS kerana protes terhadap Umno, Najib Razak dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mereka juga melihat jentera PH di Kedah tidak kuat.

“Bagaimana kelompok ini mengundi pada pilihan raya akan datang, masih timbul persoalan,” katanya.

Selain itu sikap di kalangan pengundi muda yang semakin ramai dan akan menyertai proses pilihan raya buat pertama kali ini juga berbeza.

Atas dasar itu, PAS dan Umno tidak boleh mengambil mudah untuk menguasai kesemua 15 Parlimen di Kedah dengan menghitung jumlah undi diraih kedua-dua parti.

“Walaupun gabungan PAS dan Umno kian mengukuh, mereka belum diuji di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Kita tidak boleh ambil perkiraan secara mudah ambil campuran undi PAS dan Umno (untuk melihat siapa yang mampu kuasai Kedah),” tambahnya.

Penganalisis politik Hisomuddin Bakar berkata pola pengundian dalam PRK juga tidak boleh dijadikan asas mengukur kekuatan dalam pilihan raya akan datang kerana keadaan yang berbeza. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2020.

Tambahnya walau jumlah undi PAS dan Umno menunjukkan kedua-dua parti itu mampu menguasai lapan kerusi, wakil rakyat PH tetap akan menang di kerusi tersebut kerana undi bukan Melayu.

“Kawasan bercampur yang mempunyai pengundi bukan Melayu yang tinggi seperti di Alor Setar, Sungai Petani – Di atas kertas kalau gabung undi Melayu, ia akan untungkan PN.

“Tetapi, beberapa pilihan raya yang lepas, calon daripada Pakatan Rakyat atau PH tetap menang seperti di Sungai Petani,” katanya.

Lapan daripada 15 kerusi dimaksudkan adalah Jerlun, Kubang Pasu, Pokok Sena, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim Bandar Baharu.

Dalam PRU14, gabungan PH berjaya menguasai 10 daripada 15 kerusi. PAS pula memenangi tiga kerusi manakala Umno dua.

Pada September, Umno dan PAS membentuk gabungan baharu dibawah Muafakat Nasional (MN) pada September.

Gabungan itu kemudiannya membentuk kerajaan pada Februari apabila disertai Bersatu, yang dipimpin Muhyiddin Yassin dan puak bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Ia juga menyebabkan tiga ahli Parlimen Bersatu menjadi wakil rakyat Bebas selepas parti itu keluar PH dan menyertai PN.

Ketiga-tiganya merupakan pemimpin utama yang berpengaruh di negeri tersebut Dr Mahathir (Langkawi), anaknya Mukhriz (Jerlun) dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Insiden itu menyebabkan beberapa kerajaan negeri ditadbir PH tumbang kepada PN apabila dua Adun daripada PKR bertindak keluar parti dan menyokong PN.

Menteri besar baharunya Muhammad Sanusi Md Nor daripada PAS menyuarakan keyakinan PN mampu menyapu bersih kerusi Parlimen di negeri itu.

“Sasaran PN Kedah ialah menguasai 15 Parlimen dan 36 DUN. Perkara ini bersandarkan realiti politik sekarang kerana orang sudah tidak boleh terima PN dan sambutan pada PN juga sangat hebat,” kata beliau.

Ia disokong Ketua Pemuda PAS Kedah Nurul Amin Hamid yang berkata sasaran Sanusi realistk memandangkan rakyat fokus kepada pemulihan ekonomi dilakukan oleh kerajaan PN.

Katanya, pentadbiran PN giat bekerja berbanding pemimpin PH yang masih sibuk dengan isu-isu politik, katanya.

“Baik peringkat pusat atau negeri Kedah, semua pemimpin PN yang berada dalam kerajaan sedang bertungkus lumus bekerja dan rakyat menyambut dengan baik.

“Bagi PAS di semua peringkat, agenda kebajikan sepertu turun padang membantu golongan memerlukan tetap diteruskan.

“Akar umbi dan jentera parti tiada masalah akur kepada arahan pemimpin diatas. Mereka dilihat bekerja keras untuk parti dan fokus bersedia hadapi PRU15,” jelas beliau.

Sementara itu Pemuda Amanah Kedah pula menyatakan keyakinan yang PH masih mampu mengekalkan kerusi Parlimen sedia ada walau berdepan laluan sukar sebagai pembangkang.

Ketua Pemuda Amanah Mohd Ridzwan Arshad Ahmad berkata, mereka akan menjelaskan yang isu dibangkitkan PAS dan Umno selama ini hanyalah untuk membangkitkan sentimen pengundi.

Perkara itu boleh dilihat seperti dalam usaha meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah (RUU355), dan piagam Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Sentimen seperti RUU 355, ICERD, Tabung Haji, penutupan kilang arak, dan penutupan kedai judi tidak lain tidak bukan adalah sentimen yang dimainkan pihak PAS dan Umno untuk meraih sokongan politik yang mana realitinya memakan diri pada saat ini,” katanya.

Tambahnya, kekuatan PH dalam PRU akan datang bergantung kepada kekuatan gabungan parti tersebut dan juga sokongan dari pengundi muda.

PH juga perlu berusaha untuk mengekalkan kerusi yang dimenangi dengan majoriti tipis sebelum ini.

Pengerusi PH Kedah, Johari Abdul terdahulu meletakkan sasaran memenangi lebih tujuh kerusi Parlimen dimiliki mereka ketika ini sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat. – 29 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen