Najib masih berpeluang bersihkan nama, kata Shafee


Alfian Z.M. Tahir

Muhammad Shafee Abdullah berkata terdapat sepuluh lagi hakim dari Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang akan menghakimi kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2020.

KETUA peguam bela Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah yakin pasukannya mempunyai peluang cerah untuk membersihkan nama bekas perdana menteri itu di Mahkamah Rayuan.

Beliau ketika ditemui pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas keputusan hari ini berkata terdapat sepuluh lagi hakim dari Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang akan menghakimi kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

“Tiada bukti menunjukkan bahawa Najib yang mengarahkan RM42 juta masuk ke akaunnya, dan ini baru seorang hakim. Ada sepuluh lagi. Tiga dari Mahkamah Rayuan dan tujuh dari Mahkamah Persekutuan,” kata Shafee.

“Kami akan rayu dan peluang lebih cerah (bersihkan nama Najib). Namun, perbicaraan dijalankan dengan adil, cuma satu sahaja isu ialah mahkamah tidak meletakkan kes ini sebagai kes undang-undang jenayah tetapi kes sivil.”

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi tuduhan salah guna kuasa, serta penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Secara keseluruhannya, Najib menghadapi 42 tuduhan dalam lima perbicaraan – tiga daripadanya sedang berlangsung.

Ahli Parlimen Pekan itu masih berdepan empat lagi perbicaraan. – 28 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen