Bagaimana Umno pikat generasi milenium yang kecewa


Sheridan Mahavera

Umno menerusi unit sayapnya, Pemuda dan Puteri mengambil pendekatan menggunakan busker dan aktivis berceramah tanpa logo untuk memenangi hati generasi milenium menjelang PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2017.

PENYANYI busker beri ceramah dan aktivis parti berkempen tanpa logo Umno menjadi antara cara terkini digunakan parti Melayu terbesar itu untuk mengejar undi generasi milenium yang masih sukar difahami.

Wujud hampir 4.1 juta pengundi tidak berdaftar, kebanyakan mereka berusia bawah 21 tahun akan menjadi faktor utama dalam memastikan kemenangan parti politik mana pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut satu kaji selidik baru-baru ini, berita buruknya ialah mereka tidak suka politik dan tidak percaya kepada ahli politik, terutama daripada parti lama seperti Umno dan gabungan parti pembangkang yang diketuainya, Barisan Nasional (BN).

Jadi untuk mengatasi kebencian terhadap Umno, sayap pemudanya menghantar aktivis dan pihak yang tidak akan dikenali sebagai ahli parti, kata Ketua Penerangan Pemuda Umno Jamawi Jaafar.

“Tempat berbeza, strateginya juga akan berbeza. Di kawasan luar bandar, tidak mengapa guna logo Umno untuk tarik orang muda datang,” kata Jamawi kepada The Malaysian Insight.

“Tetapi di kawasan lebih bandar, tempat golongan pertengahan, orang enggan kelihatan ada di program Umno. Jadi kami guna aktivis yang boleh bercakap dan berkempen tanpa logo.”

Aktivis ini sebahagian daripada inisiatif SPAM oleh sekretariat penerangan Pemuda Umno. Ia akronim untuk Skuad Penerangan Anak Muda.

Selain mereka, SPAM juga melatih speaker yang menyampaikan ceramah berskala kecil seperti busker yang biasanya menyanyi di stesen kereta api, restoran dan pusat beli-belah.

Mereka jadi speaker dan menyampaikan ucapan tentang program kerajaan dan mereka dilatih untuk berdialog dengan pejalan kaki, kata Jamawi.

“Setakat ini, penerimaan agak positif terhadap busker ini. Mereka berada di kawasan berhampiran restoran dan tidak ada yang suruh mereka pergi.”

Parti lama yang berkuasa

Mereka adalah sebahagian usaha kreatif oleh Pemuda Umno dan Puteri Umno untuk memenangi hati pengundi generasi milenium.

Menurut kaji selidik Merdeka Center terhadap 604 golongan muda, 70% daripada mereka tidak peduli tentang politik.

Tujuh daripada 10 belia Malaysia yang dikaji selidik berkata mereka mendapati ahli politik tidak boleh dipercayai dan menjadi sebab utama kepada masalah dihadapi negara hari ini. Lebih separuh daripada mereka percaya bahawa ahli politik tidak peduli pun tentang rakyat.

Ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin berkat mereka sedar tentang kaji selidik itu dan memulakan inisiatif sendiri seperti GC30, di mana aktivis mengenal pasti pengundi generasi milenium dan merapati mereka.

“Kita berjumpa mereka dan cuba memenangi hati mereka. Kami guna pendekatan 4T,” katanya, menambah 4T itu ialah Temu, Tawan, Tolak fitnah, Teruskan gerak kerja.

Penolong Setiausaha Puteri Umno Fahariyah Md Nordin berkata strategi itu termasuk ahli bertemu pengundi secara berdepan dan juga menerusi media sosial.

“Kami beritahu mereka ia bukan tentang pilihan raya saja tetapi tentang masa depan dan bagaimana kita akan membangunkan negara.”

Tetapi di sebalik semua program itu, persoalannya kekal sama ada generasi milenium akan benar-benar percaya naratif Umno atau sebaliknya.

Jamawi yakin generasi itu akan datang kepada Umno apabila mereka mendengar apa yang parti katakan.

“Menerusi kajian kami, didapati mereka tidak boleh buat keputusan kerana tidak faham isu nasional atau kerana tidak ada orang mendekati mereka. Mereka tidak mahu mengundi kerana mereka belum dengar apa yang kita hendak cakap.”

Bagaimanapun, penganalisis Wan Saiful Wan Jan berkata generasi milenium sukar diyakinkan kerana mereka sudah pun kecewa dengan apa dilihat dalam parti politik yang sudah lama berkuasa.

“Bila mereka lihat BN, BN nampak seperti mempertahankan parti politik lama. Bila mereka lihat PH, PH juga letak pemimpin lama. Jadi, mereka rasa suara mereka tidak termasuk dalam semua itu.” – 7 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • semoga golongan belia nampak segala usaha yg dilakukan demi menjamin masa depan negara..dibawah umno telah banyak benda yg kita dapat..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan