Kesan Covid-19: Golongan muda mula ceburi bidang perniagaan


Khoo Gek San

Ramai golongan muda mula beralih arah selepas hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2020.

RATA-RATA anak muda yang hilang pekerjaan akibat wabak Covid-19 kini dilihat beralih ke sektor perniagaan makanan jalanan, kata mereka yang terlibat dalam sektor ini.

Presiden Persatuan Peniaga Kecil Pulau Pinang Ooi Thean Huat berkata beberapa peniaga berusia awal 30-an dan pernah bekerja di kilang serta pekerja kolar putih yang hilang pekerjaan.

“Sekurang-kurangnya 45% peniaga baharu adalah golongan muda dan ramai yang meminta nasihat saya,” katanya kepada The Malaysian Insight mengenai keadaan peniaga di Pulau Pinang.

“Ia adalah sesuatu yang biasa melihat anak muda yang bekerja di pejabat kini bekerja di kedai kopi, memasak dan menjual kuey teow goreng, mee Hokkien, mee kari atau kuey teow sup.

“Saya cuba menolong mereka yang baru ini dengan memberitahu mana kedai pemborong yang terbaik,” katanya.

Presiden Gabungan Penjaja dan Persatuan Peniaga Kecil Malaysia Yow Boon Chuan berkata beliau sudah melihat peningkatan sebanyak 20% dalam jumlah pertanyaan mengenai penjaja dari seluruh negara berbanding jumlah pertanyaan biasa sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan pada pertengahan Mac.

Bagaimanapun hanya 10% yang benar-benar menjadi penjaja selepas mengetahui banyak peraturan dan prosedur terlibat.

“Selepas mereka mengetahui bahawa terdapat banyak peraturan untuk beroperasi sebagai penjaja, mereka hilang minat. Ada yang merasakan mereka tidak akan dapat menyesuaikan diri dengan gaya hidup dan pekerjaan.

“Ada juga banyak SOP kerana pandemik yang berlaku. Dan majlis perbandaran biasanya memberi keutamaan kepada peniaga yang sudah menjalankan perniagaan. Adalah sukar bagi penjaja baru untuk mendapatkan slot di pasar malam kerana jumlah gerai yang terhad,” katanya.

Toh Lai Huat dari Persatuan Penjaja dan Perniagaan Kecil Petaling Jaya berkata terdapat ramai muka muda di antara vendor baharu di pasar basah yang kini dibenarkan beropersi semula selepas PKP dan PKP Bersyarat.

“Ramai yang berminat bekerja di pasar PJ dan datang kepada saya bertanya bagaimana untuk memulakan perniagaan. Mereka perlu meminta kebenaran dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan juga mengetahui sama ada terdapat kekosongan di antara gerai-gerai di pasar berkenaan,” katanya yang merupakan penasihat eksekutif Persatuan Penjaja-penjaja dan Peniaga-peniaga Kecil Petaling Jaya.

Namun ada beberapa penjaja baharu yang mendirikan gerai secara haram.

Tetapi atas dasar belas kasihan Toh berkata dia memutuskan untuk tidak menganggu pendatang baharu ini walaupun gerai mereka dibuka di tempat yang tidak sepatutnya.

“Selagi ada ruang saya tidak akan ganggu. Sama ada mereka sudah mohon lesen, semua orang berusaha untuk mencari rezeki. Kita memahami keadaan mereka,” katanya.

Fenomena lebih ramai memulakan perniagaan akibat kesan pandemik Covid-19 terhadap ekonomi tidak ketara di luar Lembah Klang.

Persatuan Peniaga-Peniaga dan Penjaja-Penjaja Negeri Sembilan menjangkakan trend ini tetapi presidennya Lee Teong Chwee berkata ia masih belum dapat dilaksanakan. – 29 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen