2 lelaki ditahan samun rumah teres 


POLIS menahan dua lelaki di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) di Kuala Lumpur semalam selepas disyaki terlibat dalam kegiatan samun di sebuah rumah teres di Kelana Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pihaknya sebelum itu menerima laporan terdapat kes samun dan mencederakan dua wanita berusia 25 dan 30 tahun di sebuah rumah teres di Kelana Jaya melibatkan kedua-dua lelaki berumur 23 dan 26 tahun itu.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 12.45 tengah hari itu, suspek dikatakan mengacukan pisau lipat ke arah seorang daripada mangsa dan mencederakan dahi mangsa.

“Suspek kemudiannya menyamun barangan berharga milik kedua-dua mangsa termasuk telefon bimbit dan dompet sebelum melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.

“Dua lelaki itu ditahan sepasukan polis yang membuat rondaan berhampiran pada kira-kira 1 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata telah berlaku sedikit pergelutan ketika polis menahan kedua-dua suspek yang cuba melarikan diri tetapi mereka terjatuh daripada motosikal yang dinaiki.

“Selain itu, polis turut merampas tujuh telefon bimbit, tiga jam tangan, pelbagai kad pengenalan, lesen memandu dan wang tunai bernilai RM82,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek berada dalam senarai dikehendaki berkaitan dadah manakala semakan rekod motosikal ditunggang suspek dilaporkan hilang.

“Kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula hari ini manakala kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan penglibatan kedua-dua suspek ini dalam jenayah samun dan ragut di sekitar daerah Petaling Jaya,” katanya. – Bernama, 27 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen