Penarik kereta ditahan belasah pemandu


SEORANG penarik kereta yang tular di media sosial sejak semalam kerana membelasah seorang lelaki di Api-Api Centre, di Kota Kinabalu berjaya ditahan polis dalam tempoh kurang daripada 24 jam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata lelaki warga tempatan berumur 35 tahun itu ditahan di rumahnya di Sembulan, di Kota Kinabalu kira-kira pukul 11.30 malam oleh sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.

“Sebaik menerima laporan daripada pengadu iaitu mangsa pada pukul 1.30 tengah hari semalam, pihak polis terus menjalankan siasatan dan menjalankan operasi mengesan suspek yang kemudiannya berjaya ditahan pukul 11.30 malam hari yang sama.

“Menurut laporan, mangsa yang baru keluar dari sebuah kedai di kawasan Api-Api Centre telah memandu kenderaan untuk beredar dari kawasan tersebut sebelum ditahan oleh suspek yang menaiki motosikal. Suspek kemudiannya meminta mangsa turun dari kenderaan sebelum ditumbuk dan ditendang beberapa kali pada bahagian muka dan kepala,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai 16 rekod jenayah lampau berkaitan dengan kes dadah, curi dan mendatangkan kecederaan.

“Menurut suspek, tindakan beliau memukul mangsa adalah disebabkan mangsa kononnya hampir melanggar suspek,” katanya.

Habibi berkata siasatan lanjut juga mendapati motosikal yang digunakan suspek disewa daripada individu lain bagi memudahkan kerja suspek mencari kenderaan yang dikehendaki.

Beliau berkata suspek kemudiannya direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan pada orang lain. – Bernama, 27 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen