Kes aneh penganiayaan terhadap Lim Guan Eng


JIKA anda memerhati pemimpin Umno sejak kebelakangan ini, mengikuti cakap-cakap para laskar siber Barisan Nasional (BN) di media sosial, ataupun membaca berita dan ruangan pendapat di media arus perdana, jelas terdapat satu usaha bersepadu dan bersungguh-sungguh untuk mencemarkan reputasi setiausaha agung DAP dan bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng dengan menggunakan isu projek terowong bawah laut Pulau Pinang.

Dan mungkin juga anda pernah terfikir, dengan tahap mengenai perkara itu, pastinya kes ini adalah sebesar skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sekaligus meletakkan Lim Guan Eng dalam “liga” yang sama dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

Lagi pun, kalau ada asap, tentu ada api kan?

Hakikatnya, itulah yang BN dan Perikatan Nasional (PN) rancangkan – supaya anda dan orang ramai fikir demikian.

Oleh itu, jika mereka – laskar siber dan media arus perdana yang menyebelahi PN – terus mengapi-apikan isu tersebut secara besar-besaran, disertakan tindakan yang seolah-olah rutin oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bibit-bibit keraguan ditanam dalam minda penyokong, meskipun di kalangan yang paling tegar.

Dalam kes ini, pihak-pihak yang bersekongkol ini berjaya mewujudkan “asap palsu” (atau helah) yang berbahaya untuk memberi gambaran ada api yang marak.

Bak kata pepatah Inggeris, “throw enough mud at the person, and some might just stick”.

Ada di luar sana yang cakap bahawa salah satu syarat untuk Umno menyertai Kerajaan PN adalah membuka semula kes terhadap Lim yang melibatkan projek terowong bawah laut.

Ya betul, “buka semula” kerana kes itu sudah pun disiasat dan ditutup secara rasmi oleh SPRM pada November 2018 kerana sememangnya, tidak ada kes.

Justeru, kita melihat SPRM agak sibuk sejak kebelakangan ini, menangkap bekas pembantu Lim, menyoal siasat semua exco utama Pulau Pinang, dan sejak seminggu yang lalu, menyoal Lim berjam-jam selama 3 hari.

Yang melucukan, kesemua yang disoal siasat berasa bingung. Mereka diminta, selama berjam-jam, untuk mengesahkan laporan minit mesyuarat kerajaan yang merakamkan dengan teliti proses tender (tawaran) dan penganugerahan kontrak projek terowong bawah tanah tersebut.

Bagaimanapun, tiada soalan ditanya, meskipun kepada Lim secara terus atau tersirat mengenai sebarang pemberian dana yang tidak betul, rasuah atau gratifikasi yang diberi kepada “suspek”.

Bagaimana  pihak berkuasa menyiasat sebuah kes “rasuah” atau “pengubahan wang haram” apabila tiada secebis bukti, walaupun lemah, yang menunjukkan berlakunya pembiayaan atau pemindahan dana?

Sebagai contoh, Najib yang didakwa kerana membelanjakan wang berjumlah RM42 juta yang berasal daripada SRC International, di mana sebahagian wang itu digunakan untuk membayar bil kad kredit kepunyaannya dan bil membeli-belah isterinya, Rosmah Mansor di Hawaii.

Beliau turut didakwa kerana menerima sekurang-kurangnya RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya, yang mana, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat mengesahkan wang itu berasal dari 1MDB.

Dalam semua kes Najib, bukti perbuatan rasuah tersebut – iaitu penggunaan wang – adalah jelas. Dalam kes Lim, di sebalik semua ‘petir dan guruh’, bukti wang atau gratifikasi yang dituduh berlaku tidak wujud.

Namun begitu, fakta ini semua tidak penting bagi mereka yang mempunyai agenda untuk mencemarkan imej Lim, dan pada masa yang sama, merosakkan reputasi dan integriti parti DAP serta Pakatan Harapan.

Sebagai contoh, ada satu artikel oleh Tay Tian Yan, timbalan ketua pengarang eksekutif Sinchew Daily pada Jumaat lalu bertajuk “Guan Eng dan Najib kedua-duanya ditimpa nasib malang”.

Dalam kes Najib, mahkamah memberikan satu penghakiman terus untuk beliau membayar RM1.69 bilion cukai tertunggak.

Keputusan oleh mahkamah itu jelas memberi gambaran bahawa Najib mengelak membayar cukai sehingga berbilion ringgit.

Dalam kes Lim, beliau diminta oleh SPRM untuk memberi keterangan. Tiada pendakwaan telah difailkan, tiada juga kes terhadapnya.

Tetapi, Timbalan Ketua Pengarang Sinchew Daily tersebut menyamakan Najib dan Lim dengan niat jahat untuk mendorong para pembaca untuk melihat Lim sebagai pesalah dan berskandal seperti Najib. Pandai dan licik kan?

Hakikatnya, Umno, BN dan PN, juga pihak media yang berperanan sebagai “tukang sorak” yang kini gigih berusaha mereka kes palsu terhadap Lim.

Ia membuktikan kepada kita semua bahawa meskipun dengan kesemua kuasa dan jentera kerajaan yang ada di tangan kerajaaan, mereka tidak dapat mengemukakan sebarang penyalahgunaan kuasa, rasuah atau pecah amanah oleh ketua parti DAP.

Walaupun selama dua tahun Lim menjadi menteri kewangan, mereka gagal memperoleh sebarang bukti penyalahgunaan kuasa.

Saya pasti, dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini sejak kerajaan baharu memegang tampuk kuasa, pihak berkuasa berkaitan diarahkan untuk menggali dengan mendalam apa jua salah laku yang boleh digunakan untuk membabitkan Lim, atau sekurang-kurangnya, untuk mencemarkan reputasinya.

Tetapi jelas, mereka tidak menjumpai apa-apa; tiada kontrak untuk kroni, tiada penyalahgunaan proses, tiada aktiviti membeli-belah peribadi yang mewah.

Jadi, mereka pun terpaksa membuka semula kes terowong bawah laut yang sudah lama ditutup.

Kenapa SPRM menutup fail kes sebelum ini? Jawapannya mudah; projek itu dianugerahkan menerusi tender terbuka.

Projek dinilai oleh sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, iaitu seorang penjawat awam, dan bukan Lim.

Dan tiada sesen pun dibayar oleh kerajaan negeri untuk projek terowong, yang mana ia hanya akan bermula setelah syarikat kontraktor Zenith Construction Sdn Bhd memperoleh semua kelulusan perancangan dan persekitaran yang diperlukan, serta dana yang diperlukan untuk melaksanakan projek tersebut.

Saya jijik dengan penyalahgunaan kuasa politik oleh mereka yang memegang kuasa sekarang, yang berlaku di depan mata kita.

Saya juga jijik dengan personaliti media yang menjadi pak turut kepada kerajaan hari ini. Tidak banyak perbezaan antara rejim hari ini dan pemerintahan Najib yang kita kalahkan pada 2018.

Oleh itu, ada juga hikmah di sebalik semua perkembangan ini, jika kita dapat menjatuhkan kerajaan Najib yang sangat berkuasa semasa ia memerintah, maka kita pasti mampu melakukan perkara yang sama kepada rejim PN yang jelas tidak bersehaluan. – 27 Julai, 2020.

* Tony Pua adalah setiausaha publisiti kebangsaan DAP dan ahli Parlimen Damansara.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen