Anwar pilihan pertama calon PM, kata Amanah, DAP


Amanah dan DAP menyatakan Presiden PKR Anwar Ibrahim merupakan pilihan pertama calon perdana menteri mereka.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2020.

PARTI komponen Pakatan Harapan, DAP dan Amanah hari ini mengulangi sokongan mereka kepada Anwar Ibrahim sebagai calon pertama perdana menteri berdasarkan sokongan 109 ahli Parlimen.

Presiden Amanah Mohammad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata jalan ke depan ialah dengan memberi peluang pertama kepada Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan.

“Dan sekiranya beliau gagal, Shafie (Apdal) wajar diberikan peluang yang serupa; kedua-duanya dengan berasaskan sokongan kukuh 109 orang ahli Parlimen,” mereka.

Kedua-dua pemimpin itu berkata dua parti berkenaan sebelum ini menyatakan sokongan terhadap presiden Parti Warisan Sabah itu sebagai calon perdana menteri bagi “menyelesaikan kebuntuan” antara bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim dalam mesyuarat tidak rasmi pada 25 Jun di Rumah Tetamu Sabah, Kuala Lumpur.

“Selain mengurangkan rasa tidak senang PKR terhadap Dr Mahathir, Shafie akan menjadi pilihan bersejarah sebagai pemimpin pertama dari Sabah atau Sarawak yang dicadangkan sebagai perdana menteri.

“Pemimpin Amanah dan DAP yang menghadiri mesyuarat tidak rasmi itu kemudiannya memaklumkan Tun Dr Mahathir dan mereka yang lain bahawa pilihan baharu Shafie ini perlu dibawa kembali untuk perbincangan bersama pimpinan parti masing-masing dan kemudian dibincangkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.”

Lim dan Mohamad mengulangi kenyataan bahawa 109 ahli Parlimen perlu menjadi asas untuk memulihkan kerajaan; bukan perkumpulan setakat 91 Ahli Parlimen tanpa Warisan dan kumpulan Dr Mahathir dalam Bersatu, atau hanya 71 ahli Parlimen tanpa PKR.

“Amanah dan DAP berkongsi perasaan kecewa dalam kalangan rakyat Malaysia bahawa walaupun dengan 109 kerusi di Parlimen menentang PN walaupun ditawarkan jawatan menteri dan GLC, kita masih gagal menuntut semula mandat rakyat.

“Kami tidak bersetuju dengan idea bahawa Pakatan Harapan boleh berunding dengan sesiapa sahaja dengan berbekalkan 91 kerusi, dengan mengesampingkan kumpulan Dr Mahathir dan Warisan.

“Kami juga tidak bersetuju dengan idea bahawa perubahan boleh berlaku dengan hanya 71 ahli Parlimen, tanpa penglibatan 38 ahli Parlimen PKR,” kata mereka.

Sama ada Anwar atau Shafie, dengan berbekalkan 109 ahli Parlimen, sesiapa yang berjaya mendapat angka untuk mencukupkan angka 112 ahli Parlimen, wajar diberi peluang mengetuai kerajaan gabungan itu nanti sebagai perdana menteri, tambah mereka.

Lim dan Mohamad berkata pembakang tidak perlu menunggu sehingga plihan raya umum akan datang untuk menyelesaikan persoalan mengenai calon perdana menteri.

“Sebarang formula untuk menang dalam PRU seterusnya secara sendirian sebagai Pakatan Harapan atau tanpa Pakatan Harapan adalah formula yang sukar.

“Hanya Pakatan Harapan Plus yang melibatkan Pakatan Harapan, Warisan dan kumpulan Tun merupakan kombinasi boleh menang dalam PRU akan datang. Kekuatan bersama ini mesti menjadi premis asas, bukannya perkumpulan pembangkang yang berpecah-belah dan lemah,” kata mereka.

Tambah mereka, pilihan untuk berputus asa daripada menuntut semula kuasa kerajaan bukan sahaja tidak bertanggungjawab, bahkan merupakan pengkhianatan terhadap pilihan rakyat pada 9 Mei 2018.

“Dengan tidak mencuba untuk menuntut kembali mandat itu secepat mungkin, kita hanya mengabsahkan Langkah Sheraton, sebuah kerajaan tanpa mandat, kesemua dasar-dasarnya yang tidak demokratik dan paling penting sekali, ketiadaan iltizam politik untuk membanteras rasuah dan memupuk ketelusan dalam urus tadbir.

“Ini tidak boleh dibiarkan berlaku,” kata mereka. – 27 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen