Rakyat akan tentukan nasib PKR


SAYA dimaklumkan beberapa hari lalu tentang sebuah himpunan bertajuk “penerangan” oleh PKR yang akan berlangsung di Ampang.

Pada kiraan saya, ia adalah himpunan biasa sebuah parti politik yang cuba memberi gambaran bahawa organisasi mereka yang kian lemah itu seakan segar dan dapat meneruskan agenda mengangkat impian peribadi seorang pemimpin klasik untuk menjadi perdana menteri.

Ternyata kira-kira tersebut tepat sekali. Agenda peribadi terus dihidangkan dan skrip yang bernaratif sekitar tajuk khianat didendang dan diulang-ulang untuk hidangan hadirin daripada kalangan beberapa kerat aktivis yang masih boleh dicucuk hidung mereka.

Soalnya, definisi khianat yang didendang itu jauh tersasar. Bukanlah khianat jika mana-mana pemimpin mengubah bahtera mereka demi meneruskan agenda membela rakyat. 

Perjuangan politik yang berlandaskan kesetiaan membuta tuli lebih-lebih lagi demi merealisasikan mimpi kabur beberapa kerat pemimpin adalah corak politik kuno dan ketinggalan.

Lebih 20 tahun ia digerakkan namun Alhamdulillah, tidak dapat dijadikan kenyataan.

Kesetiaan adalah pada prinsip, pada perjuangan membela nasib rakyat dan pada khidmat yang akhirnya memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat.

Sasaran khusus perkataan khianat yang dituju kepada Ahli Parlimen Ampang (Mohamed Azmin Ali) dan Gombak (Zuraidah Kamaruddin) itu jauh tersasar. 

Saya percaya rakyat dan pengundi masa kini tidak termakan dengan dakyah dan propaganda. Mereka telah muak dan mual. 

Dalam keadaan negara yang kian bangkit akibat pandemik Covid-19 lalu, seluruh negara khususnya mahukan  pemimpin yang mendahulukan kepentingan rakyat. 

Dalam hal ini kedua ahli Parlimen Ampang dan Gombak mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dan diakui oleh rakyat. Ia dapat dilihat dan bukan rahsia lagi. 

Maka simpanlah angan-angan mahu menawan kedua kawasan ini, kerana kesemua yang hadir di Ampang siang itu hanyalah juara retorik yang kuat melalak dan membuat bising seperti tong kosong yang digendang. 

Jangan sibuk menerjah kawasan orang sedangkan kawasan sendiri tunggang-langgang.

Impian rakyat bukan menjadikan sesiapa perdana menteri, rakyat tidak perlu diheret dalam polemik cita-cita peribadi mahupun kroni.

Suara yang sampai adalah keluh kesah suami yang perlu menyara keluarga,ibu yang memikirkan bagaimana makanan dapat dihidang di atas meja,dan nak muda yang memikirkan kelangsungan hidup mereka.

Golongan ini termasuk para peniaga yang sedar akan usaha kerajaan kini melalui Perikatan Nasional membina semula negara ini dari kerosakan yang berlaku. 

Kesemua rakyat memerlukan sokongan dalam bentuk inisiatif dan usaha kerajaan untuk meneruskan hidup.

Pengkhianat sebenar adalah kelompok yang menjanjikan bulan dan bintang yang sedap dibaca di atas kertas manifesto mereka, tetapi mabuk bila dapat kuasa dengan mencipta pelbagai alasan kemudian apabila sudah mendapat kuasa.

Suka saya ingatkan PKR yang Ampang dan Gombak adalah wilayah di mana rakyatnya peka, terbuka dan bijaksana.

Mereka mahukan tidakan, kepedulian dan keprihatinan untuk menyelesaikan masalah serta meningkatkan kehidupan mereka. Mereka mual dengan perebutan kuasa.

Saya juga hairan, ketetapan PKR yang berdegil mahukan Anwar Ibrahim dilantik menjadi perdana menteri – atas asas apa? Perdana menteri kerajaan mana? Maka selesaikanlah dahulu pakatan yang berpecah tiga ini.

PKR boleh menggunakan kuasa di negeri selangor berbaki beberapa ketika pemerintahan mereka. Rakyat akan membuat penilaian matang yang memberi manfaat besar kepada negara. – 27 Julai, 2020.

* Nor Hizwan Ahmad, setiausaha politik kepada Zuraida Kamaruddin.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen