Hanya 10 haiwan korban dibenarkan, kata menteri 


Alfian Z.M. Tahir

Kerajaan mengehadkan haya 10 ekor haiwan untuk ibadah korban, selaras dengan usaha mengekang penyebaran Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2020.

MAKSIMUM hanya 10 haiwan yang boleh dikorbankan di perkarangan masjid, surau atau kawasan dibenarkan oleh pihak berkuasa agama berkaitan untuk Hari Raya Aidiladha yang akan datang, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Namun, beliau menyarankan lebih baik jika ibadah korban itu dilakukan di rumah sembelihan memandangkan keperluan menghentikan penyebaran Covid-19.

“Kami mengizinkan maksimum 10 ekor lembu bagi setiap masjid tetapi bergantung kepada kawasannya. Jika kecil, tidak boleh 10 ekor haiwan.

“Walaupun kami mengizinkan ibadah korban diadakan di masjid atau surau, paling baik jika ia dilakukan di rumah sembelih,” katanya hari ini.

“Mereka tidak boleh mengadakan jamuan makan selepas melakukan korban. Mereka boleh bungkus dan bawa balik,” tambahnya.

Aidil Adha jatuh pada 31 Julai.

Semasa kemuncak penyebaran Covid-19, kerajaan menangguhkan perayaan Hari Raya Aidilfitri secara besar-besaran dan melarang orang ramai pulang ke kampung.

Bagaimanapun, bagi Aidiladha, umat Islam diizinkan pulang kampung, dan mengehadkan sambutan kepada 20 orang pada satu-satu masa.

Malaysia kini berada di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan ketika kerajaan berusaha untuk merangsang ekonomi. – 27 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen