Selangor terima pekerja asing, kata MB


Noel Achariam

Selangor tidak ada masalah tentang pengambilan kerja warga asing dengan syarat mereka diambil bekerja dalam sektor kritikal, kata menteri besar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2020.

SELANGOR tidak ada masalah tentang pengambilan kerja warga asing dengan syarat mereka diambil bekerja dalam sektor kritikal, kata Amirudin Shari.

Menteri besar itu berkata negeri itu sudah lama bergantung kepada pekerja warga asing bagi sektor tertentu.

“Kita perlukan buruh berkemahiran, untuk contohnya dalam pembinaan dan sektor kritikal lain. Tetapi mereka perlu ada data tegas tentang siapa yang dibenarkan atau tidak dibenarkan bekerja.

“Kita juga perlu memastikan kawalan ketat (oleh majikan) dan mereka (pekerja warga asing) mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada 22 Jun, Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata pengambilan pekerja warga asing dibekukan hingga hujung tahun depan.

Beliau berkata kerajaan tidak membenarkan pengambilan pekerja warga asing kerana keutamaan sekarang ialah membantu rakyat tempatan mendapatkan pekerjaan.

Amirudin berkata perlu ada kefahaman dan kolaberasi antara kementerian yang membuat dasar atau industri sektor pembinaan, perkhidmatan yang banyak memerlukan dan menggunakan tenaga asing.

“Isu besarnya ialah kawalan, kalau kita berjaya mengawal dengan memastikan rekod kesihatan imigresen dapat dilaksanakan dengan baik, ia akan berjalan dengan betul,” katanya.

Beliau berkata industri harus segera komunikasi dengan Jabatan buruh dan Kementerian Sumber Manusia supaya menjelaskan kita tidak akan kompromi dengan tenaga kerja asing tanpa izin.

“Keutamaan perlu diberikan kepada warga asing yang terbukti membantu dan menggerakkan sektor.

“Bagi saya, selain kawalan penyakit kita kena lihat kesan ekonomi yang agak besar dan parah khususnya akhir tahun ini kalau tidak akan beri kesan besar kalau kita tidak menggerakkan ekonomi dengan lebih pantas dan kreatif.

Amirudin berkata jika rakyat Malaysia pun gagal dipastikan mematuhi SOP, gagal memastikan saringan dibuat masa ditetapkan, ia tetap akan jadi pusat perebakan.

“Covid-19 tidak memilih asing, lokal atau tempatan tetapi ia melihat cara dan gaya hidup menangani selagi mana vaksin tidak ditemui.

“SOP penjarakan sosial, pelitup muka dan amalan kebersihan sajalah sebagai penghalang dan benteng untuk elak dijangkiti Covid-19.

Selangor dikenal pasti sebagai negeri dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi. – 28 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen