Bukan mudah hendak ambil kerusi Azmin, kata MB Selangor


Noel Achariam

Azmin Ali menjadi ahli Parlimen Gombak sejak 2008 dengan jumlah undi diperoleh pada PRU14 sebanyak 75,113 menewaskan calon PAS dan BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2020.

BUKAN mudah untuk merebut kembali kerusi Parlimen Gombak yang dipegang Azmin Ali sejak 2008, kata Amirudin Shari.

Menteri besar Selangor itu berkata walaupun PKR tidak menafikan pengaruh Azmin dalam kalangan pengundi di Gombak, pembangkang bersiap sedia mencabar untuk mengambil kembali kerusi itu.

“Di Gombak 77% pengundi adalah Melayu dan ini cabaran bagi PKR. Tetapi kita akan lihat nanti sejauh mana kita boleh pergi.

“Adakah faktor individu (Azmin) atau faktor calon parti (pembangkang) yang akan menarik pengundi?,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Azmin memegang kerusi Gombak sejak 2008. Beliau dilantik sebagai menteri besar Selangor ada 2014 dan melepaskan jawatan itu pada 208 selepas diletakkan di Kabinet selepas Pakatan Harapan (PH) menang pilihan raya umum.

Amiruddin berkata kerusi Parlimen Gombak dan Ampang (Zuraida Kamaruddin) antara yang sukar dicabar jika berlaku pilihan raya.

Parti itu berikrar untuk mengambil balik kedua-dua kerusi itu pada konvensyen negeri, daripada personaliti yang dianggap sebagai pengkhianat terhadap agenda reformasi.

Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin mengingatkan Azmin dan Zuraida bahawa dua kerusi itu secara tradisionalnya milik PKR, dan kedua-dua ahli Parlimen itu mengkhianat parti dengan keluar daripada parti berkenaan.

“Kami ingin ingatkan pengkhanat itu bahawa ini wilayah PKR. Kami akan lawan balik untuk dapatkan Ampang dan Gombak pada pilihan raya akan datang,” katanya pada konvensyen PKR di Ampang semalam.

Azmin berjaya mengekalkan kerusi Gombak pada pilihan raya umum lalu dengan majoriti 48,721 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Abdul Rahim Pandak dan Khairil Nizam Khiruddin (PAS).

Azmin memperoleh 75,113 undi sementara Rahim (26,392) dan Khairil (17,537).

Zuraida di kerusi Ampang sejak 2008. Beliau juga bekas ketua Wanita PKR.

Beliau berjaya mengekalkan kerusi itu untuk PKR dengan 41,956 undi majoriti. Beliau memperoleh 54,307 undi sementara calon BN, Leong Kim Soon (12,351dan ) Nurul Islam Mohamed Yusuf daripada PAS Yusuf (9,598) dan calon PRMTan Hua Meng (294).

Pada 24 Februari, Azmin dan Zuraida yang juga bekas naib presiden PKR dipecat daripada parti.

Mereka bersama 10 lagi ahli Parlimen parti itu kemudiannya menyertai Bersatu yang diterajui oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata PKR bersiap sedia mencabar untuk mengambil kembali Parlimen Gombak daripada Azmin Ali. – Gambar The Malaysian Insight, 28 Julai, 2020.

Amirudin percaya pembangkang masih ada harapan, terutama di kawasan separuh bandar dan bandar.

“Saya percaya kita masih ada harapan terutamanya kawasan semi urban atau kawasan urban. Saya percaya dengan track rekod kita ada dan dengan pencapaian kita buat. Dan orang boleh membandingkan antara individu dan faktor parti.

 “Kita perlu faham wakil (untuk kawasan) tidak boleh fokus kepada satu kumpulan saja (Melayu).

“Mungkin di Ampang, pembangkang ada peluang kerana 40% pengundi bukan Melayu.

Beliau berkata mereka perlu melihat kerusi mana yang dibincangkan oleh Pakatan Nasional.

“Kita kena lihat juga Perikatan Nasional mungkin sedang berbincang mengenai kerusi. Kita lihat Muafakat Nasional telah menyatakan pandangan berbeza diperingkat lokaliti Gombak,” katanya.

Amirudin berkata ia bukan jalan mudah dan bukan lebuhraya terbuka untuk Azmin atau Zuraida di kawasan masing-masing.

“Ia akan menjadi pertarungan di kawasan masing-masing apabila pengaruh mereka dan faktor lain akan diuji pada PRU15.

“Ada faktor negeri, persekutuan dan calon terbabit. Di mana ia boleh menentukan keputusannya nanti.”

Beliau berkata ada banyak faktor perlu diambil kira pada pilihan raya akan datang kerana pengundi h sekarang lebih pragmatik dalam pendirian mereka. – 28 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen