Jangan ugut kami, kata Sarawak For Sarawakians kepada Zahid


Desmond Davidson

Kata Ketua de facto S4S Peter John Jaban, jika timbalan perdana menteri Zahid Hamidi merasa desakan untuk pengiktirafan penuh hak negeri seperti yang dibincang dalam MA63 adalah satu bentuk ancaman terhadap negara, “maksudnya beliau mempunyai pandangan yang sangat ‘gelap’ tentang bagaimana negara ini terbentuk.” – Gambar The Malaysian Insight, 6 Disember, 2017.

WARGA Sarawak enggan tunduk dengan amaran Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berhubung slogan “Sarawak for Sarawakians” dan “Sabah for Sabahans”.

Mereka melihat kenyataan Zahid itu sebagai ancaman terhadap aspirasi politik penduduk negeri-negeri Borneo dan percubaan kerajaan persekutuan untuk tidak mematuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Kumpulan penyokong pro-autonomi Sarawak 4 Sarawakian (S4S) secara terang-terangan menolak dengan menyifatkan kenyataan Zahid itu sebagai “kosong dan tak berasas, yang direka bagi menakutkan rakyat dari mempertahankan hak mereka yang termaktub dalam perlembagaan.”

Ketua umum S4S Peter John Jaban berkata, tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengharamkan penggunaan slogan seperti “Sarawak untuk Sarawak.”

Katanya, Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan terang-terangan menjamin hak kebebasan bercakap dan bersuara bagi setiap warganegara.

Jaban juga mencabar Zahid memberi satu contoh kesalahan ketenteraman awam yang dilakukan S4S, untuk membolehkan timbalan perdana menteri itu menyekat hak NGO berkenaan untuk terus bersuara.

Tambah Jaban, jika timbalan perdana menteri Zahid merasa desakan untuk pengiktirafan penuh hak negeri seperti yang dibincang dalam MA63 adalah satu bentuk ancaman terhadap negara, “maksudnya beliau mempunyai pandangan yang sangat gelap tentang bagaimana negara ini terbentuk.”

Selain itu Jaban juga mengingatkan Zahid bahawa penduduk Sarawak juga adalah patriot Malaysia yang berkhidmat pada negara dalam pelbagai jenis cabang perkhidmatan, termasuk keselamatan.

Jaban turut mempersoalkan sekiranya Zahid juga bermaksud untuk menuduh kerajaan Sarawak juga memberi ancaman kepada keselamatan negara.

“Mereka minta benda yang sama seperti kami.

“Adakah beliau akan tahan semua kereta yang ada pelekat logo Sarawak 4 Sarawakians atau setiap orang yang berbaju-T?

“Kalau itu niat beliau, lebih baik beliau mula bina penjara yang lebih besar sebab beliau bercakap tentang peratusan populasi penduduk yang tinggi di negeri ini,” kata Jaban.

Tambahnya, lebih baik jika Zahid turun dan dengar sendiri suara hati penduduk negeri Borneo daripada terus menghukum mereka.

“Sarawak 4 Sarawakians adalah cerminan rakyat Sarawak, bukan direka-reka.”

Dalam pada itu, aktivis hak Sarawak Lina Soo pula berkata, beliau ingin tahu reaksi Ketua Menteri Sarawak  Abang Johari Openg terhadap ancaman Zahid.

“Bekas ketua menteri Adenan Satem kuat menyokong sentimen Sarawak for Sarawakians.

“Saya terfikir adakah beliau akan terancam dengan amaran itu. Saya tak sabar untuk tahu semua ini bila beliau kembali nanti,” katanya merujuk kepada Abang Johari yang berada dalam lawatan belajar selama lima hari di China.

Sementara itu Ketua PKR Sarawak Baru Bian berkata, kenyataan Zahid itu adalah amaran yang sahih, selain menambah bahawa slogan itu sangat tepat mencerminkan sentimen dua negeri Borneo itu.

Bagaimanapun Baru berkata, “amaran” itu muncul ketika pilihan raya umum ke-14 yang semakin hampir, dan beliau melihat perkara itu sebagai strategi terancang untuk memberi tekanan dan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan persekutuan.

“Jika silap perhitungan, mungkin akan makan diri balik,” katanya merujuk kepada Barisan Nasional. – 6 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen